
Hakim Amarjeet Singh memutuskan penimbang tara tiada prerogatif untuk memberikan award secara ex-parte (sebelah pihak) seperti itu.
Amarjeet berkata, enam individu berkenaan sepatutnya memfailkan permohonan mendapatkan izin mengemukakan prosiding semakan kehakiman di mahkamah tinggi.
“Penimbang tara tiada kuasa untuk mengarahkan semakan kehakiman secara ex-parte kerana kuasa itu hanya ada pada Mahkamah Tinggi,” katanya.
Enam individu itu mendakwa mengalami kesan negatif akibat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Mereka menamakan sebagai responden, kerajaan terdahulu iaitu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, penggantinya Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Dr Adham Baba yang memegang jawatan itu sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta beberapa menteri Kabinet lain.
Kumpulan itu termasuk waris kepada dua daripada mereka yang meninggal dunia, didakwa akibat kesan sampingan susulan suntikan vaksin. Mereka turut mendakwa didiskriminasi di tempat kerja kerana enggan menerima suntikan vaksin.
Pada 3 Mac enam individu itu memohon award ex-parte bagi tindakan liabiliti sivil yang mendakwa kerajaan bertanggungjawab atas kesan sampingan negatif dialami akibat vaksin berkenaan.
Peguam mereka Zainuddin Abu Bakar sebelum ini memberitahu mahkamah, semua pemohon mendapat award ex-parte pada 3 Mac daripada penimbang tara berkenaan yang mengarahkan supaya ia didaftarkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 30 hari.
Beliau berhujah, orang awam yang merasakan kerajaan mengakibatkan ganti rugi dan kehilangan berhak memohon semakan kehakiman.
Zainuddin kemudian memberitahu pemberita, pemohon akan memfailkan permohonan semakan kehakiman baharu di bahagian rayuan dan kuasa-kuasa khas mahkamah berkenaan.
Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).