‘Saya duta besar ke AS? Tunggu sajalah, cakap apa pun tak guna’, kata Nazri

‘Saya duta besar ke AS? Tunggu sajalah, cakap apa pun tak guna’, kata Nazri

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menganggap isu dirinya dilantik sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat pada masa ini hanya bersifat spekulasi semata-mata.

Nazri Aziz berkata, khabar angin mengenai pelantikan beliau sebagai duta besar ke Amerika Syarikat mungkin bertiup kencang kerana Kabinet ada membuat keputusan mengenainya tetapi ia bergantung kepada persetujuan kerajaan AS.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menganggap isu dirinya dilantik sebagai duta besar ke Amerika Syarikat pada masa ini hanya bersifat spekulasi semata-mata.

Bekas menteri pada era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak itu berkata, khabar angin mengenai perkara terbabit mungkin bertiup kencang kerana Kabinet ada membuat keputusan mengenainya tetapi bergantung kepada persetujuan kerajaan Amerika Syarikat untuk menentukan.

“Sehingga kini tiada berita apa pun. Sekarang spekulasi sahaja. Cakap apa pun tidak guna…kita tunggu sajalah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan media yang mendakwa dirinya bakal dilantik sebagai duta besar Malaysia ke Washington. Bagaimanapun perkara itu belum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini timbul khabar angin mengenai pencalonan ahli politik itu sebagai duta besar Malaysia ke Switzerland namun ditolak oleh kerajaan negara berkenaan.

Bagaimanapun, Kementerian Luar menafikan pencalonan Nazri ditolak sebaliknya beliau tidak boleh menjadi duta besar ke negara itu kerana Switzerland menetapkan individu yang masih berkhidmat sebagai ahli Parlimen tidak boleh menjadi calon jawatan berkenaan.

Nazri pula dilaporkan berkata, beliau menolak jawatan itu kerana perlu melepaskan kedudukannya sebagai ahli Dewan Rakyat.

Nazri memulakan karier politiknya pada 1978 sewaktu berusia 24 tahun apabila dilantik sebagai exco Pemuda Umno dan naib ketua Pemuda Umno pada 1993.

Beliau juga berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) dan menteri pelancongan dan kebudayaan (2013 hingga 2018).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.