
Dalam hantaran di Facebook, bekas menteri pengangkutan itu mengkritik langkah tersebut dan menyifatkan belum pernah ada mana-mana kementerian mengambil pendekatan sedemikian.
“Sesebuah kementerian perlu merangka dasar dan menyampaikan perkhidmatan kepada seluruh negara dan bukan mana-mana satu kawasan tertentu,” katanya.
Katanya, Tengku Zafrul tidak sepatutnya menggunakan kedudukan untuk memberi kelebihan kepada dirinya untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Khabar angin mengatakan Tengku Zafrul sedang mengintai kerusi untuk bertanding pada PRU15. Spekulasi mengatakan beliau akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor atas tiket Umno.
Bercakap pada majlis di Kuala Selangor, semalam, menteri kewangan itu berkata, kementeriannya menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat untuk membantu pembangunannya.
Beliau juga mengumumkan, Puncak Alam, sebuah bandar baharu dalam daerah Kuala Selangor akan diberi kebenaran untuk pembinaan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Loke bagaimanapun berkata, kelulusan untuk sesebuah stesen keretapi juga bukan di bawah bidang kuasa Tengku Zafrul sebagai menteri kewangan.
“Kelulusan untuk “railway scheme” adalah tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan.