
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, JSJN Bukit Aman bersama JSJN Pulau Pinang melancarkan operasi di kawasan perumahan di Sungai Bakap, Nibong Tebal dekat sini dan menahan tujuh lelaki.
“Dalam serbuan jam 1 pagi Jumaat itu, semua lelaki tersebut sedang memunggahkan ketulan-ketulan ganja dari sebuah lori ke sebuah rumah di situ sebelum polis merampas 848 ketulan mampat ganja seberat 840kg yang kesemuanya bernilai RM2.12 juta.
“Susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki iaitu geng sindiket tersebut di Simpang Ampat, juga di Nibong Tebal. Tiada sebarang rampasan dadah dibuat bersama suspek berkenaan. Semua suspek yang ditahan termasuk dua lelaki Thailand itu berusia 35 hingga 59 tahun,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, rampasan dadah itu adalah yang terbesar di Pulau Pinang pada tahun ini, membabitkan rangkaian penyeludup dari Thailand dan dadah untuk pasaran dalam negeri ini.
Menurutnya, sindiket itu menyeludup masuk ganja dari selatan Thailand iaitu Satun menerusi perairan Malaysia sebelum semua ganja tersebut disimpan di sebuah rumah yang dijadikan stor sindiket tersebut di Sungai Bakap.
Katanya, siasatan mendapati sindiket terbabit aktif menjalankan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah jenis ganja itu sejak akhir tahun lalu dan dipercayai mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap bulan.
“Ujian air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah,” katanya menambah ganja yang dirampas itu boleh digunakan seramai 1.68 juta penagih.
Susulan penahanan itu, polis turut menyita tiga kenderaan termasuk sebuah lori dengan kesemuanya bernilai RM80,000.
Semua lapan suspek direman tujuh hari sehingga 18 Jun ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.