
Ahmad berkata demikian selepas bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman menggesa Zahid melepaskan jawatan presiden secara terhormat demi kepentingan parti kerana beliau menjadi liabiliti kepada Umno dan akan menyebabkan parti itu kalah dalam pilihan raya umum depan.
Tajuddin turut mendakwa hampir 130 ketua bahagian Umno mahu Zahid berundur pada 2020 dan beliau juga merupakan saksi bahawa Umno menghantar akuan berkanun menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kepada Agong.
Katanya lagi, satu memorandum dalaman parti juga mahu Zahid berundur yang menurutnya diketuai oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, tetapi gerakan itu tidak berhasil.
Ahmad berkata, selepas tewas dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, Barisan Nasional (BN) dan Umno di bawah kepimpinan Zahid bangkit semula dan berjaya memenangi tujuh pilihan raya kecil (PRK) serta beberapa pilihan raya negeri (PRN).
Antaranya BN menawan semula Melaka dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi PRN pada 20 Nov 2021.
“BN juga menang 40 daripada 56 kerusi DUN dalam PRN Johor,” katanya kepada FMT selain menambah bahawa gabungan itu turut memenangi 14 kerusi DUN dalam PRN Sabah pada September 2020.
Namun Ahmad menyifatkan kejayaan terbesar BN dan Umno di bawah pimpinan Zahid adalah 15 Ahli Parlimennya menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin untuk membolehkan Naib Presidennya, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri.
Ahmad berkata, sejak dilantik sebagai presiden Umno pada 9 Mei 2018, Zahid menghadapi tekanan untuk parti itu bangkit semula dan diterima rakyat, termasuk daripada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad yang menggesa parti itu dibubarkan.
“Namun presiden Umno perlu membayar harga yang mahal untuk melawan kehendak Mahathir,” katanya.
Pada 17 Jun lalu, Zahid dilaporkan mendakwa bahawa dalam beberapa pertemuan dengan Mahathir antara 2018 dan 2020, bekas perdana menteri itu menggesa beliau membubarkan Umno dan ahlinya menyertai Bersatu.