Dakwa difitnah, ditohmah di media sosial, suami pengasas Dnars mahu saman

Dakwa difitnah, ditohmah di media sosial, suami pengasas Dnars mahu saman

Keputusan diambil selepas berbincang dengan keluarganya kerana merasakan fitnah berkenaan terlampau berat dan ia sebagai cara terbaik menyelesaikan kemelut itu.

Pada 18 Mei 2019, usahawan kosmetik Faziani Rohban Ahmad meninggal dunia manakala suaminya Ahmad Shah Rizal Ibrahim cedera apabila Toyota Estima dinaiki terlibat kemalangan di Pattani, Thailand. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia pada 18 Mei 2019 akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak didakwa memfitnahnya di media sosial.

Ahmad Shah Rizal Ibrahim berkata, keputusan itu diambil selepas berbincang dengan keluarganya kerana merasakan fitnah berkenaan terlampau berat dan ia sebagai cara terbaik menyelesaikan kemelut itu, selepas tiga tahun berdiam diri.

“Kata-kata tidak berasas serta tuduhan keras, kononnya saya telah merancang kemalangan membabitkan arwah isteri saya (sehingga terkorban), memang tidak wajar sama sekali.

“Tuduhan bahawa kematian isteri saya dirancang adalah fitnah besar dan amat jelik sekali,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Menurut Shah Rizal, selama ini beliau memilih mendiamkan diri kerana berharap perkara itu dapat diselesaikan menerusi musyawarah keluarga dan menganggap perselisihan faham sebelum ini hanya bersifat sementara.

“Namun, kemelut itu berlanjutan dan menjadi semakin teruk, hari berganti hari dan keadaan ini memang tidak disangka dan saya amat terkilan dengan sikap sesetengah pihak seperti adanya udang di sebalik batu,” katanya.

Menurutnya, pelbagai tuduhan dilemparkan itu tidak benar dan tidak berasas berikutan disimpulkan warganet selepas membaca artikel portal berkenaan pada 16 dan 17 Jun lalu.

“Antara komen netizen yang berunsur fitnah adalah tuduhan kematian isteri saya adalah satu kemalangan yang dirancang, rumah tangga saya sudah bermasalah ketika arwah masih hidup sehingga saya merancang pembunuhan arwah melalui kemalangan.

“Tuduhan saya menjalinkan hubungan di luar perkahwinan semasa arwah masih hidup sehingga saya merancang kemalangan itu serta proses membawa balik jenazah isteri dari Thailand ke Kelantan tidak dijalankan mengikut lunas undang-undang kerana saya seolah-olah berusaha menyembunyikan sesuatu.

“Selain itu, pelbagai tuduhan berkenaan wang tunai, barang milik arwah isteri, pertukaran saham syarikat dan sebagainya,” katanya.

Katanya, dia hanya mengetahui pihak keluarga isterinya membuat laporan polis menerusi laporan media, namun sehingga kini dia belum dipanggil pihak berkuasa untuk memberi kenyataan.

“Jadi, saya mengambil tindakan ini bagi mempertahankan maruah, imej serta nama baik saya dan keluarga serta menjaga kepentingan dan keselamatan lima anak termasuk seorang daripadanya anak hasil perkongsian hidup bersama Faziani yang terkesan dari segi emosi dan mental selain memberi amaran kepada pihak berkaitan menghentikan fitnah mereka,” katanya.

Sementara itu, peguamnya, Nik Zarith Nik Moustpha berkata setakat ini mereka sudah mengenal pasti beberapa individu termasuk warganet yang menggunakan akaun sebenar yang membuat tuduhan terbabit.

“Kita akan menghantar notis tuntutan termasuk menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh terdekat dan jika tidak kita akan teruskan saman malu dan fitnah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan keluarga Faziani membuat laporan polis menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian mangsa yang disyaki terdapat unsur lain selain laporan turut dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 21 Jun lalu, keluarga Faziani sekali lagi membuat laporan polis bagi memohon siasatan berhubung isu resolusi pertukaran pemilikan saham syarikat pengasas produk kecantikan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.