3 PPS dibuka bagi mangsa banjir di Baling

3 PPS dibuka bagi mangsa banjir di Baling

Menurut bomba, operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap sejak semalam di kawasan banjir terbabit giat dijalankan.

Banjir setakat ini melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang serta Kampung Sedim dan Kampung Jernang di Mukim Bakai. (Gambar Bernama)
BALING:
Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir dari empat buah kampung di daerah itu, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Rasidah Kassim berkata tiga PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi, SK Syed Sheh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.

Bagaimanapun, katanya, jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS tersebut sedang dikemas kini.

“Banjir setakat ini melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang serta Kampung Sedim dan Kampung Jernang di Mukim Bakai,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata ketika ini operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di kawasan banjir masih giat dijalankan.

Banjir di kawasan terlibat berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam sejak 2 petang semalam turut menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan penempatan penduduk berdekatan tebing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.