Isu minyak masak, ayam, telur dibentang dalam mesyuarat esok, kata Tok Pa

Isu minyak masak, ayam, telur dibentang dalam mesyuarat esok, kata Tok Pa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi) berkata laporan itu yang akan dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna penting kerana ia dibangkitkan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata, laporan tentang kedudukan terkini, dan tindakan yang sudah diambil dan setakat mana ia berkesan untuk pastikan bekalan dan harga tidak melepasi harga siling akan diketahui esok.
PUTRAJAYA:
Laporan terkini berhubung kedudukan bekalan minyak masak dalam paket satu kilogram, ayam dan telur dalam pasaran akan dibentangkan dalam mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Beliau yang menganggotai pasukan khas itu berkata laporan berkenaan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah penting kerana ia dibangkitkan rakyat khususnya berkaitan bekalan.

“Kita melawat ke kedai memang sesetengah kedai tu langsung tidak ada (bekalan minyak masak paket).

Esok kita jangka akan terima laporan tentang kedudukan terkini, dan yang penting tindakan-tindakan yang sudah diambil dan setakat mana ia berkesan untuk pastikan bekalan dan harga (tidak melebihi harga siling),” katanya kepada media selepas merasmikan cawangan Richiamo Coffee ke-99 dan kiosk pertama Richiamo Coffee di sini hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Jun lepas bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan berkesan.

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa. Ia dianggotai lima ahli iaitu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi; Mustapa dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Dalam mesyuarat pertama pasukan itu pada 30 Jun, antara perkara yang dibangkitkan ialah kekurangan bekalan minyak masak paket satu kilogram dan isu orang tengah atau kewujudan kartel dalam menentukan harga barang keperluan di pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.