
“Pelantikan tanpa merit ini akan memberikan kesan kepada integriti Suhakam sebagai sebuah badan berkanun yang diamanahkan untuk menasihati kerajaan dalam merumuskan perundangan, arahan dan tatacara pentadbiran agar selari dengan prinsip hak asasi manusia.
“Ia mesti dinilai semula sebelum ia terus mencemarkan status Suhakam sebagai sebuah institusi hak asasi manusia kebangsaan berstatus ‘A’ dan memalukan Malaysia yang merupakan negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ” katanya dalam kenyataan.
Salahuddin berkata, pelantikan Rahmat Mohamad sebagai pengerusi baharu Suhakam umpama satu kontroversi kerana beliau salah seorang penulis kertas cadangan menghalang Malaysia daripada menandatangani Statut Rom walaupun kerajaan Pakatan Harapan dan peguam negara, selaku penasihat undang-undang kepada kerajaan telah menasihati sebaliknya.
“Bolehkah pemimpin Umno yang dilantik ini menegur perdana menteri sekiranya terdapat pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh kerajaan?
“Sekiranya perdana menteri benar-benar jujur dan mahu mempertahankan hak asasi manusia, kenapa tidak dilantik juga pesuruhjaya dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), Orang Asli serta bilangan yang seimbang antara kaum serta umur?” soalnya.
Katanya, pelantikan itu haruslah telus, inklusif dan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar faham dan mempunyai pengalaman praktikal tentang hak asasi manusia.
“Jangan jadikan jawatan pesuruhjaya Suhakam sebagai hanya ‘ghanimah’ perang kepada ahli akademik, peguam dan tokoh masyarakat yang menyokong dan mesra kerajaan tanpa melihat kepada merit mereka,” katanya.
Pada 1 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan lapan anggota Suhakam yang baharu bagi sesi 2022-2025.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelantikan itu dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).
Beberapa anggota dilantik itu termasuk pemimpin Umno seperti Hasnal Rezua Merican Habib Merican yang merupakan timbalan ketua Umno Selayang dan Nazira Abdul Rahim, ketua Wanita Umno Kulim Bandar Baharu.