Peniaga mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap remaja

Peniaga mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap remaja

Tertuduh berusia 56 tahun berhadapan dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 17 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Ogos untuk sebutan semula kes.
PETALING JAYA:
Seorang peniaga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, sejak April lalu.

Tertuduh berusia 56 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 17 tahun di kawasan tempat letak kereta di Malim, Melaka Tengah pada 10 malam, pertengahan April lalu, lapor Kosmo.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di kawasan semak di Taman Kesidang, Melaka Tengah, 11 malam, awal Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (1)(b) dan 14(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Dia yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan perlu menjaga dua orang anak dan ibu yang sakit.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Sabri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan tarikh 8 Ogos untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.