Projek ladang di Gunung Inas ada kelulusan, tapi bukan tanam durian, kata JAS

Projek ladang di Gunung Inas ada kelulusan, tapi bukan tanam durian, kata JAS

Kawasan itu bagi pembangunan getah klon balak, selain ladang hutan mono-tanaman bagi penghasilan kayu getah dan lateks.

Pemeriksaan penguatkuasaan terkini Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Kedah pada 24 Mei lalu mendapati tiada kerja-kerja penanaman semula anak benih pokok yang dijalankan di Kompartmen 8, Hutan Simpan Gunung Inas, Baling. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Projek ladang hutan di Gunung Inas, Baling, Kedah diberi kelulusan sejak 2013 selepas laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dilaksanakan, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Beliau berkata, konsep projek dibenarkan adalah pembangunan ladang hutan komponen iaitu pembalakan dan silvikultur (penanaman semula spesies kayu atau tumbuhan sedia ada), tebang habis bagi tujuan penanaman getah klon balak dan pembangunan hutan yang terdiri daripada ladang hutan mono-tanaman bagi penghasilan kayu getah dan lateks.

Wan Abdul Latiff berkata, cadangan projek itu dilaksanakan Penggerak Projek Perbadanan Menteri Besar Kedah, JV Kedah Agro Plantation Sdn Bhd pada peringkat awal dan kemudian ditukar kepada Aman Mega Sdn Bhd.

Bagaimanapun, pada 10 Mac 2021, satu notis arahan dikeluarkan memandangkan terdapat perubahan konsep asal diluluskan di kawasan seluas tidak melebihi 5,000ha itu membabitkan penanaman pokok durian, bukan pokok getah klon balak.

“Pemeriksaan penguatkuasaan terkini JAS negeri Kedah pada 24 Mei lepas mendapati tiada kerja-kerja penanaman semula anak benih pokok yang dijalankan di Kompartmen 8, Hutan Simpan Gunung Inas, Baling.

“Tiada juga aktiviti pembalakan aktif atau penanaman semula dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sehingga hari ini kerana aktiviti tersebut tidak mendapat kelulusan kerja daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Walau bagaimanapun, tanaman tutup bumi telah ditanam dan tumbuh menutupi kawasan tanah yang terdedah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, beliau sudah mengarahkan JAS negeri Kedah meneruskan pemantauan dan melaksanakan penguatkuasaan secara berkala serta berterusan bagi memastikan mana-mana aktiviti pembangunan di negeri itu mematuhi keperluan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya.

Pada Isnin, bencana banjir dan kepala air yang berlaku kira-kira 4 petang menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling iaitu Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang dan Kampung Bukit Iboi.

Turut terjejas ialah Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Tiga sekeluarga berumur antara 14 hingga 53 tahun termasuk seorang wanita hamil, maut selepas dihanyutkan arus banjir di Kampung Iboi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.