Kerajaan buka semula permohonan tablet percuma bermula Ogos

Kerajaan buka semula permohonan tablet percuma bermula Ogos

Menteri komunikasi dan multimedia berkata permohonan dibuka selama 60 hari dari 1 Ogos hingga 30 Sept.

Kerajaan berkata pemberian gajet bawah program Peranti Siswa dijangka berlangsung pada Oktober.
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata kerajaan akan membuka semula permohonan gajet percuma bawah inisiatif Program Peranti Siswa selama 60 hari, mulai 1 Ogos hingga Sept.

Annuar berkata, permohonan itu membabitkan pelajar B40 yang akan memasuki institusi pengajian tinggi tidak lama lagi.

Katanya, selain itu, kerajaan bersetuju untuk memperluas kelayakan bagi pemohon yang memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Matrikulasi bawah Kementerian Pendidikan, berbanding hanya untuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebelum ini.

“Untuk fasa kedua, mereka daripada isi rumah B40 dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,850 layak memohon (untuk peranti) secara dalam talian mulai 1 Ogos hingga 30 Sept.

“Penyampaian gajet itu dijangka berlangsung pada Oktober, iaitu selepas permohonan fasa kedua ditutup,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Annuar berkata, beliau akan memberi maklumat terkini berhubung Program Peranti Siswa di Dewan Rakyat pada 4 Ogos, di mana beliau akan menjawab semua soalan ditanya oleh Ahli Parlimen mengenai program berkenaan.

Katanya, butiran mengenai jenis, jenama, spesifikasi dan bilangan permohonan yang dibuat akan diberikan dalam sesi soal jawab.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengecam pengguna media sosial yang didakwanya menyebarkan berita palsu dan separuh benar mengenai kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat, semalam.

Semalam, Ismail berkata, sukar untuk mengawal restoran dan penjaja daripada menggunakan minyak masak bersubsidi dijual dalam polibeg 1kg, walaupun bertujuan bagi kegunaan isi rumah sahaja.

Beliau berkata, kerajaan berisiko menimbulkan reaksi orang ramai jika ia menghantar pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas didapati ada penjaja menggunakan minyak masak bersubsidi.

Annuar berkata, pengguna media sosial telah membuat salah tanggapan terhadap Ismail yang menyatakan bahawa penjaja telah melakukan kesalahan.

“Ini (posting) adalah bertentangan dengan “semangat” jawapan yang diberikan oleh perdana menteri.

“Saya ingin menyatakan bahawa perbuatan sedemikian adalah melanggar undang-undang,” katanya sambil menambah bahawa tindakan lanjut perlu diambil terhadap mereka yang menularkan kandungan berunsur fitnah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.