
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata suspek berusia 56 tahun itu ditahan dalam serbuan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, pada 10 malam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menemukan masing-masing satu peket plastik heroin seberat 2.06g dan methamphetamine seberat 1.16g bersama suspek.
Katanya, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan tiga peket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 2,769.4g dalam kereta di kawasan rumah itu.
“Pemeriksaan di sebuah lagi rumah milik suspek selepas itu menjumpai satu plastik hitam mengandungi tujuh ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 6,929.7g.
“Ketika serbuan, hanya lelaki itu saja didapati berada dalam rumah dan kita masih menyiasat jika terdapat penghuni lain,” katanya pada sidang media di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) Ipoh hari ini, menurut Harian Metro.
Beliau berkata, suspek yang bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lalu didapati positif dadah jenis morfin selain mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
“Tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek dengan menyita sebuah motosikal berharga RM3,500,” katanya.