
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mengenal pasti sebanyak 351 bangunan sekolah daif di Sarawak.
Menterinya, Radzi Jidin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 107 sekolah berskala 7 iaitu bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Sementara 244 sekolah lagi, katanya, berskala 6 yang mempunyai bangunan tidak selamat dengan pengesahan daripada pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Di Sabah, beliau berkata sebanyak 282 projek menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di sekolah seluruh negeri Sabah telah diluluskan antara 2016 hingga 2022, dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.924 bilion.
“Sehingga 6 Jul, sebanyak 186 projek telah siap sepenuhnya, 32 projek dalam peringkat pembinaan dan 64 projek di peringkat prabina,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Radzi menjawab pertanyaan Larry Sng (PBM-Julau) dan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) mengenai jumlah sekolah di Sarawak dan Sabah berstatus daif.
Beliau turut menjelaskan status pembinaan sekolah baharu SMK Kalabakan yang dikenal pasti dalam skala 6 masih dalam proses rundingan.
“Tapak tanah sekolah sedia ada masih belum berstatus hakmilik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).
“Sehubungan itu, proses pemutihan tapak sekolah sedang dilaksanakan sebelum sebarang permohonan penggantian bangunan SMK Kalabakan dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan agensi pusat,” katanya.