
RUU itu akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Sesi libat urus bagi pembentangan RUU itu bersama ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang telah diadakan pada Isnin dan semalam sebelum pembentangan serta perbahasan hari ini.
Sementara itu, menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, RUU itu bakal menjadi pemangkin kepada pengakhiran gejala merokok dalam kalangan generasi belia.
Turut menarik perhatian, isu impak perdagangan negara sejak Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa di Malaysia pada Mac lepas.
Perkara itu dibangkitkan Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang) yang bertanya kepada menteri perdagangan antarabangsa dan industri pada sesi soal jawab.
Selain itu, isu kenaikan gaji anggota penguatkuasaan jabatan agama Islam negeri dibangkitkan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada perdana menteri pada sesi sama.
Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari hingga 4 Ogos.