Kes tular pemandu mabuk, polis nafi OKU terlibat

Kes tular pemandu mabuk, polis nafi OKU terlibat

Polis berkata siasatan mendapati ia tidak melibatkan mana-mana orang kurang upaya (OKU) seperti yang tular di media sosial.

Keadaan kereta Proton Persona yang terlibat dalam kemalangan di Senawang, Seremban, kelmarin.
PETALING JAYA:
Polis menafikan kes kemalangan melibatkan lelaki orang kurang upaya (OKU) yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar pasangan suami isteri di Senawang kelmarin, seperti yang tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Nanda Maarof, ia tidak melibatkan mana-mana OKU dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu dan kenyataan yang tular itu tidak benar sama sekali.

“Kejadian sebenar mengenai kemalangan ini tidak membabitkan mana-mana pemandu OKU yang memandu di bawah pengaruh alkohol. Ia berdasarkan siasatan awal pegawai penyiasat daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban yang terus ke lokasi kejadian selepas mendapat laporan mengenai kemalangan,” katanya semalam, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan itu sebenarnya melibatkan sebuah Proton Persona dipandu seorang wanita dan penumpang lelaki, iaitu bapanya.

Katanya, kejadian berlaku apabila kereta itu keluar dari simpang, menyebabkan motosikal ditunggang mangsa berusia 50 tahun bersama isterinya, 42, yang datang dari arah kiri tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi kiri kereta terbabit.

“Pemandunya hadir ke BSPTD Seremban untuk membuat laporan kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Rule 3(2)(b) LN 166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Saya juga menasihatkan orang awam supaya tidak membuat berita tanpa pengesahan atau palsu dan menyebarkannya melalui laman sosial kerana ia mungkin menimbulkan suasana tidak tenteram,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.