
Beliau turut kesal dengan tindakan pemimpin PBM seperti Zuraida Kamaruddin yang pernah menyertai PKR dan Bersatu.
“Ini perkara memalukan. Daripada sejarahnya dalam PKR, dalam PH, sejarah dalam PN, tiba-tiba melutut kembali kepada BN demi kuasa.
“Bagi saya, ini satu perkara kesal (untuk) lihat perkembangan tersebut,” katanya dalam sidang media di Jitra, Kedah.
Bagaimanapun, beliau secara sinis mengucapkan selamat maju jaya kepada PBM dalam permohonannya menyertai BN.
“Selamat berjaya untuk mereka (PBM),” katanya.
Rabu lalu, pengganti presiden PBM, Zuraida dilaporkan berkata, BN belum memberi maklum balas terhadap permohonan PBM untuk menyertai gabungan itu yang dihantar tiga minggu lalu.
Jun lalu, selepas dilantik sebagai pengganti presiden PBM, Zuraida memaklumkan beliau akan mengetuai perbincangan parti itu dengan BN untuk bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya berkata, pihaknya terbuka menerima mana-mana parti yang yakin dengan prinsip BN, termasuk PBM.
Tetapi, BN Ampang kemudiannya menolak untuk bekerjasama dengan Zuraida menjelang PRU15 atas alasan tidak boleh bekerjasama dengan PBM yang meninggalkan PKR dan pernah menjadi lawan BN.
Dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata, penubuhan Gerakan Tanah Air yang diumumkan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam tidak memberi ancaman kepada PN, BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya rasa BN kekal kelompoknya, PH dah stabil dan PN semakin lama semakin berkembang.
“Saya rasa tidak akan jadi ancaman terlalu besar, tetapi boleh bawa kepada perpecahan undi yang akan untungkan pihak satu lagi, terutama sebelah Umno, BN dan PH. Jadi, perkara ini akan diperhatikan dalam pilihan raya.”