Projek LCS: Apa tindakan SPRM mengenai laporan PAC, tanya Kit Siang

Projek LCS: Apa tindakan SPRM mengenai laporan PAC, tanya Kit Siang

Veteran DAP itu bertanya sama ada SPRM akan mengambil kira laporan PAC dalam siasatannya mengenai projek perolehan kapal tempur pesisir pantai itu.

PAC semalam berkata, Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek perolehan kapal tempur pesisir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasukkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam siasatannya mengenai projek kontroversial perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu bertanya sama ada SPRM sedar mengenai lebih RM1 bilion dimaksudkan untuk projek itu yang menurut PAC digunakan untuk tujuan lain.

Menurut Lim, pada Oktober 2020, bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong menggesa Putrajaya untuk menyiasat kehilangan RM1 bilion yang dikaitkan dengan projek itu.

“Kini tanggungjawab terletak pada SPRM untuk menyiasat setiap aspek perbelanjaan dan memberitahu rakyat sama ada wang ini telah disedut keluar dan siapa yang telah menerima manfaat daripadanya,” katanya dalam kenyataan.

“Bolehkah Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu rakyat Malaysia apa yang sedang dilakukan SPRM mengenai laporan PAC ini dan juga jelaskan mengapa badan tersebut tidak bertindak awal lagi?”

Semalam, PAC mendedahkan bahawa Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Ini berhubung perubahan daripada kapal model Sigma kepada model Gowind selepas dicadangkan oleh BNS kepada menteri pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi.

“Memetik kenyataan panglima tentera laut ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan keputusan itu,” kata Pengerusi PAC Wong Kah Woh pada sidang media di Parlimen.

Beliau berkata, tiada sebuah pun LCS yang diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion telah dibayar kepada BNS, yang memperoleh projek tersebut secara rundingan terus.

Katanya, mengikut jadual asal, syarikat terbabit sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan.

Pada 27 Julai, Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, SPRM telah menyiapkan siasatan berhubung skandal LCS, dengan tuduhan disyorkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Susulan laporan PAC tersebut, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, kementeriannya akan mematuhi semua saranan bagi projek tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.