
Pindaan kepada Akta Cukai Jualan yang diluluskan pada Khamis menggesa cukai jualan 10% dikenakan ke atas barangan import bernilai rendah yang dibeli dalam talian dan dihantar ke Malaysia oleh vendor yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) berkata terdapat beberapa perkara yang kurang jelas mengenai barangan atau kelas barangan yang akan dikenakan cukai, yang berdasarkan budi bicara menteri kewangan.
“Persoalan besar yang masih tidak jelas ialah jenis produk yang diklasifikasikan sebagai barangan bernilai rendah (LVG),” kata Timbalan Presiden MCM Beninder Singh.

“Kerajaan mesti sangat jelas mengenai perkara ini atau ia akan disalah guna.”
Pada masa ini, cukai ke atas jualan dalam talian terhad kepada barangan import yang berharga lebih daripada RM500. Dengan pengilang tempatan kini dikenakan cukai jualan 5% hingga 10%, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz sebelum ini menyatakan bahawa cukai itu akan “mewujudkan peluang sama” dan menjana pendapatan RM200 juta setiap tahun.
Profesor ekonomi Sunway University, Yeah Kim Leng berkata, walaupun pindaan itu sememangnya akan mewujudkan “padang yang sama rata”, ia perlu dinilai dari perspektif kos dan faedah, terutamanya sejauh mana cukai itu mungkin tidak menggalakkan pembelian dalam talian.
Tambahnya, kerajaan harus menyediakan lebih banyak maklumat mengenai hasil cukai yang dijangkakan dan menimbangnya dengan kos pentadbiran serta beban yang dikenakan ke atas banyak peruncit dalam talian di negara ini.

Manakala Shankaran Nambiar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata, hasil cukai tambahan yang diperoleh tidak akan menjadi jumlah yang besar.
Bagaimanapun katanya, cukai baharu itu akan memainkan peranan penting dalam menangani percanggahan yang dihadapi pengilang tempatan kerana mereka perlu membayar cukai jualan manakala LVG yang diimport dikecualikan.
“Sudah tiba masanya e-dagang dikenakan cukai,” katanya.
“Beli-belah dalam talian semakin meningkat, dan sedikit sebanyak, ia menggantikan beli-belah fizikal. Oleh itu, adalah wajar bahawa cukai ini perlu dikenakan kerana ia sejajar dengan trend pendigitalan yang semakin meningkat.”
Katanya, cukai yang serupa telah pun dilaksanakan di beberapa negara lain, antaranya ialah Australia, New Zealand dan Singapura.