Orang Asli tak boleh bawa keluar hasil hutan untuk dijual

Orang Asli tak boleh bawa keluar hasil hutan untuk dijual

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju berkata bagaimanapun penggunaan untuk domestik dibenarkan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju berkata Orang Asli dibenarkan mengeluarkan hasil hutan untuk tujuan domestik, namun bukan untuk komersial.
KUALA LUMPUR:
Orang Asli yang tinggal di hutan simpan kekal tidak dibenarkan membawa keluar hasil hutan untuk tujuan komersial, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju.

“Secara asasnya penggunaan untuk domestik dibenarkan, tetapi untuk kegunaan komersial atau penjualan tidak dibenarkan. Itu umumnya,” katanya di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Apandi Mohamad (PAS) semasa sesi penggulungan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bacaan kedua.

Apandi juga bertanyakan sama ada langkah kerajaan negeri Kelantan yang memperuntukkan enam ekar kawasan hutan untuk dibangunkan Orang Asli bagi tujuan ekonomi bertentangan dengan Akta Perhutanan Negara 1984.

Mengulas pertanyaan itu, Ali berkata ia dibolehkan dan tidak bertentangan dengan akta yang sedang dipinda.

“Tidak bertentangan kerana enam ekar ini dikhaskan untuk Orang Asli buat (aktiviti) komersial, boleh tanam sawit.

“Jadi enam ekar dibuat (diberi) untuk meningkatkan taraf hidup orang Asli sebenarnya supaya dia tidak mengambil kawasan di hutan lain. Usaha kerajaan Kelantan memang patut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Saratok berkata ketika ini terdapat 850 kampung Orang Asli di seluruh negara dengan majoritinya berada di hutan simpan kekal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.