
Thomas Daniel, penganalisis di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, berkata angkatan tentera kebanyakannya melakukan penilaian teknikal dalam membuat cadangan pemerolehan kepada Kementerian Pertahanan.
Beliau menggesa kerajaan mengambil serius kelemahan dalam sistem perolehan pertahanan dan melaksanakan kawalan ketat.
Seorang lagi penganalisis, Lam Choong Wah berkata, perlu ada lebih banyak keterbukaan, dengan perjanjian senjata tentera ditapis Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan diaudit ketua audit negara.
Lam berkata, kontraktor dengan rekod prestasi teruk perlu disenaraihitamkan dan Boustead Naval Shipyard “tidak boleh dilantik semula” selepas pengendalian lemahnya dalam dua projek utama tentera laut.
Dua penganalisis itu mengulas laporan Parlimen berhubung projek bermasalah kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion. Menurut laporan itu, tiada satu pun daripada enam kapal itu disiapkan, walaupun penghantaran dijadualkan antara 2019 hingga tahun ini.
Daniel berkata, kepentingan pertahanan selalunya bukan pertimbangan pertama kerana terdapat kepentingan negara yang mengatasinya, seperti keperluan membangunkan industri tempatan, pertumbuhan ekonomi, diplomasi dan perdagangan, oleh itu kepentingan pertahanan perlu diberikan lebih banyak pertimbangan.
“Keutamaan bersaing untuk kuasa berbelanja dan cara terhad, bermakna kita perlu mengimbangi peruntukan sedikit yang kita ada untuk tentera berbanding dana bagi pembangunan, kesihatan, pendidikan dan keutamaan sosioekonomi lain.”
Tetapi, katanya, ini tidak bermakna memberi tentera kawalan sepenuhnya ke atas pemerolehan aset dan perlu ada usaha wajar, akauntabiliti serta pengawasan awam.
“Melainkan kerajaan sedia mengambil serius kelemahan sistem pemerolehan pertahanan kita – bagaimana industri pertahanan tempatan pada asasnya menjadi jentera naungan – dan memperkenalkan proses akauntabiliti ketat serta kesan terhadap mereka yang gagal menyampaikannya, maka perkara mengarut ini akan berlaku lagi,” katanya merujuk kontroversi LCS.
Walaupun pembaziran dan lebihan kos tidak dapat dielakkan sepenuhnya, Daniel berkata, mempunyai proses pengawasan betul dapat mengurangkannya dan memastikan pihak di sebalik salah laku itu dipertanggungjawabkan.
Lam, bekas felo Pusat Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat, berkata tindakan undang-undang harus diambil terhadap mereka yang menyebabkan pembaziran dan kelewatan dalam projek LCS bagi menghalang orang lain mengulangi kesilapan sama.
“Syarikat pertahanan yang mempunyai rekod prestasi buruk perlu disenaraihitamkan. BNS, yang turut gagal dalam projek Kapal Peronda Generasi Baharu tidak boleh dilantik lagi,” katanya sambil menggesa pembelian pertahanan perlu dilakukan melalui tender terbuka dan peruntukan pemerolehan setiap aset kerajaan didedahkan dalam belanjawan tahunan persekutuan.
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B), Mohamed Arshad Raji berkata, Putrajaya mesti memastikan aset yang diperoleh memenuhi keperluan tentera, menyifatkan perolehan pertahanan Malaysia sebagai “huru-hara”.
“Saya tidak faham bagaimana Perbendaharaan boleh mengeluarkan wang itu. Adakah mereka tahu apa yang mereka bayar?,” katanya.