PAC adakan prosiding susulan projek LCS 4 Feb

PAC adakan prosiding susulan projek LCS 4 Feb

Mesyuarat akan bincang hasil lawatan kerja PAC ke Limbungan Lunas hari ini, serta perkembangan terkini projek.

lcs
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata, jawatankuasa akan terus pantau perkembangan projek LCS dari semasa ke semasa untuk pastikan kapal siap dibina ikut garis masa dan kos dipersetujui.
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen (PAC) akan mengadakan satu mesyuarat prosiding berhubung projek pembangunan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut (TLDM) di Bangunan Parlimen pada 4 Feb.

Pengerusi PAC Parlimen Mas Ermieyati Samsudin berkata, mesyuarat itu sebagai susulan bagi membincangkan hasil lawatan kerja PAC berkaitan projek pembangunan kapal peronda generasi kedua LCS di Limbungan Lumut Naval Shipyard (Lunas), Perak, hari ini serta perkembangan terkini projek itu.

“Lawatan ini adalah yang ketiga untuk PAC memantau projek tersebut sebagai susulan kepada prosiding PAC terdahulu mengenai projek LCS,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semasa sesi lawatan itu, PAC Parlimen diberi taklimat berkenaan kemajuan pembinaan kapal-kapal LCS, garis masa projek serta cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan projek itu.

“PAC turut dibawa melihat sendiri kapal LCS1 di Limbungan Lunas yang sedang dalam proses pembinaan.

“PAC turut dibawa meninjau LCS2 dan LCS3 yang sedang dalam pembinaan dari bahagian luar,” katanya.

Semasa lawatan itu, delegasi PAC antaranya disertai wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Akauntan Negara.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Lokman Hakim Ali, beberapa delegasi kementerian serta TLDM.

Mas Ermieyati berkata, PAC akan terus memantau perkembangan projek LCS dari semasa ke semasa bagi memastikan kapal-kapal siap dibina mengikut garis masa serta kos yang telah dipersetujui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.