‘Bukan sengaja lewat’, kata menteri berkait LCS

‘Bukan sengaja lewat’, kata menteri berkait LCS

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pentauliahan LCS 1 dipinda ke Disember ini dan LCS 2 pada Ogos 2027.

lcs
Kemajuan kerja pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) kini mencapai 75.75% hingga 25 Dis lalu berbanding 81.57% daripada perancangan asal.
PETALING JAYA:
Pentauliahan kapal tempur pesisir (LCS) 1 dan 2 mengalami kelewatan daripada jadual asal, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas daripada Lumut Naval Shipyard (Lunas), pentauliahan LCS 1 dipinda ke Disember ini dan LCS 2 pada Ogos 2027.

“Lewat bukan dengan sengaja tetapi sesuatu yang sedia maklum ini merupakan kapal pertama kita buat dalam negara kita dan sudah tentu ada cabaran dan pengajaran kita dapati.

“Yang penting beri ruang kepada tenaga tempatan dapat ilmu untuk bina kapal ini. Bila kapal siap jadi contoh kepada kapal LCS 3, LCS 4 dan LCS 5,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang meminta menteri pertahanan menyatakan status prestasi ‘sea trial’ LCS 1 KD Maharajalela dan apakah kapal itu akan dapat ditauliahkan mengikut jadual seawal Ogos ini.

Dalam pada itu, Khaled berkata bagi LCS 3, pentauliahan kekal pada Disember 2027, LCS 4 Ogos 2028 dan LCS 5 April 2029.

Beliau turut memaklumkan kemajuan kerja pembinaan LCS kini mencapai 75.75% hingga 25 Dis lalu berbanding 81.57% daripada perancangan asal.

Katanya, manakala bagi LCS 1 kemajuan semasa adalah 82.90% berbanding 96.52%.

“Kemajuan projek ini meliputi pembinaan struktur kapal, pemasangan peralatan utama dan integrasi sistem-sistem kapal.

“Walaupun terdapat kelewatan berbanding jadual asal, kementerian dimaklumkan oleh pihak Lunas bahawa LCS 1 telah berjaya diluncurkan ke air dan kini berada dalam fasa pemasangan serta integrasi sistem utama kapal,” katanya.

Menurut Khaled, LCS 1 dijangka menjalankan ‘see trial’ penuh pada April ini dan persediaan platform serta peralatan giat dilaksanakan.

Katanya, bagi ujian laut LCS 1 di peringkat limbungan telah bermula sejak 20 Jan lalu dan seterusnya memulakan ‘first sea going’ hari ini.

Sementara itu, Khaled berkata dari segi kos, nilai keseluruhan kontrak projek LCS adalah RM11.2 bilion untuk kelima-lima kapal dengan perbelanjaan semasa berjumlah RM8.3 bilion atau lebih kurang 74% daripada jumlah keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.