
KUANTAN: Mayat remaja dan kanak-kanak lelaki yang dihanyutkan arus semasa mandi di Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong, Bera pada Selasa lepas, masing-masing ditemui malam semalam dan awal pagi tadi.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, ditemui pada 10.30 malam, kira-kira 400m dari lokasi kejadian.
Mayat Muhammad Danial Irsyad Norazlan, 11, pula dijumpai terapung oleh orang awam pada 1.30 pagi, juga kira-kira 400m dari lokasi kejadian.
Kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Pada 3.30 petang Selasa, kedua-dua mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras selepas terlepas daripada pelampung semasa mandi di sungai itu bersama beberapa rakan sekolah.