
Ketika menolak permohonan itu, Tengku Maimun berkata “kita dapati tidak ada sebab untuk menangguhkannya”.
“Jika kita teruskan hari ini (untuk mendengar permohonan oleh Najib) dan membuat kesimpulan hari ini, tiada siapa perlu berada di sini (di mahkamah) esok,” katanya.
Shafee berkata, tidak ada konspirasi antara beliau dan peguam Najib yang lain untuk menangguhkan perbicaraan. Beliau juga cuba menjelaskan pelbagai usaha penangguhan.
Bagaimanapun, Tengku Maimun memberitahunya, mahkamah tidak berminat untuk mendengar permintaan sebelum ini.
“Jangan buang masa, hanya lihat merit (permohonan supaya ketua hakim negara tarik diri),” katanya.
Pendakwa Raya Ad Hoc V Sithambaram memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan membantah sebarang cubaan untuk melengahkan lagi pendengaran rayuan.
Beliau berhujah, permohonan itu adalah satu lagi cubaan untuk menghalang pendengaran.
Shafee yang kembali menyertai pasukan pembelaan Najib pagi ini berkata, beliau tidak mempunyai sebarang dokumen mahkamah bersamanya sekarang selain hadir ke mahkamah itu dari tempat lain di Petaling Jaya.
Terdahulu, peguam utama, Hisyam Teh Poh Teik memberitahu mahkamah bahawa Shafee akan membantunya dalam usaha Najib membuat permohonan agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan kes SRC.
Ia selepas Najib memfailkan permohonan agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuannya atas alasan suaminya, Zamani Ibrahim mempunyai “sentimen negatif” terhadap kepimpinannya, yang dinyatakan dalam hantaran Facebook selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).