Ganda usaha tangkap Jho Low, kata Guan Eng

Ganda usaha tangkap Jho Low, kata Guan Eng

Pengerusi DAP berkata 'tidak adil' Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya dibiarkan bebas apabila Najib Razak dibawa ke muka pengadilan.

Jho Low yang disifatkan sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB diburu sejak 2018 dan Interpol telah mengeluarkan notis merah untuk penahanannya. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan menggandakan usaha untuk menangkap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Beliau membuat kenyataan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak bagi kes SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

“DAP menggesa kerajaan menggandakan usaha menangkap Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya yang berkaitan skandal RM52 bilion 1MDB demi memberi keadilan kepada 32 juta rakyat Malaysia yang dirompak oleh rompakan terbesar dalam sejarah.

“Ketika Najib menghadapi pengadilan di mahkamah, adalah nyata tidak adil dan (menjadi) satu pengkhianatan keadilan apabila Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya yang berkaitan dengan skandal itu dibiarkan bebas berkeliaran,” katanya.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun semalam. Dia juga perlu membayar denda RM210 juta.

Lim juga berkata, kerajaan perlu menyediakan laporan kemajuan mengenai status penangkapan “penjenayah paling dikehendaki di Malaysia” itu.

“Tiada perbelanjaan atau usaha harus dikurangkan untuk membawa Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya yang terkait dengan rompakan berpuluh bilion ringgit (milik) rakyat Malaysia dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan,” kata bekas menteri kewangan dan ketua menteri Pulau Pinang itu.

Low, yang disifatkan sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB diburu sejak 2018 dan Interpol telah mengeluarkan notis merah untuk penahanannya.

Kerajaan sebelum ini berkata, lokasinya tidak diketahui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.