
Ini hari kedua beliau hadir di sini selepas menjalani hukuman penjara sejak Selasa lalu.
Najib dilihat keluar dari sebuah SUV polis dengan berpakaian sut dan bertali leher pada 8.50 pagi, dengan kenderaan yang membawanya ke mahkamah diiringi sebuah van Jabatan Penjara.
Najib kemudian memasuki mahkamah yang dikawal ketat pihak berkuasa dan orang ramai dilarang menunggu di luar bilik mahkamah.
Pada 18 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan hari ini untuk menyambung semula perbicaraan Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk meminda laporan audit 1MDB.
Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.
Pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memeriksa pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat dengan Najib. Beliau kekal sebagai tertuduh bersama.