Dulu tuduh PH jarah Petronas, sekarang kenapa diam, Pemuda PKR soal Asyraf

Dulu tuduh PH jarah Petronas, sekarang kenapa diam, Pemuda PKR soal Asyraf

Ketua Pemuda PKR berkata Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini dilihat paling lantang melontarkan kritikan berkaitan dividen tambahan Petronas diberi kepada kerajaan.

Adam Adli berkata jawapan dan respons dalam isu itu wajar dituntut terutama daripada pemimpin Umno yang lantang mengkritik sebelum ini termasuk Asyraf Wajdi Dusuki.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PKR, Adam Adli mempersoalkan sama ada Asyraf Wajdi Dusuki akan mengkritik kerajaan kerana menerima dividen khas sebanyak RM25 bilion daripada Petronas.

Adam berkata, ini kerana ketua Pemuda Umno itu sebelum ini dilihat paling lantang melontarkan kritikan berkaitan dividen tambahan RM30 bilion yang diterima kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019.

“Kita wajar menuntut jawapan dan respons dalam isu ini terutama daripada pemimpin yang pernah lantang mengkritik sebelum ini termasuk Asyraf Wajdi.

“(Asyraf Wajdi) masih belum bersuara apabila kerajaan yang perdana menteri dan menteri kewangannya adalah pemimpin kanan dalam parti dan gabungan pemerintah,” katanya dalam kenyataan.

Adam turut menjelaskan bagaimana dividen khas daripada Petronas itu digunakan oleh kerajaan PH bagi menampung tunggakan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Dividen khas yang dibayar oleh Petronas pada 2019 dahulu adalah bagi menampung tunggakan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Kerajaan Barisan Nasional (BN), dengan secara salah, tidak memindahkan kutipan cukai GST ke dalam Tabung Bayaran Balik GST seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang di bawah Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 ketika itu,” katanya yang juga timbalan ketua Pemuda PH.

Selain itu, Adam turut menggesa kerajaan supaya telus dalam membelanjakan dividen daripada Petronas.

“Bukan untuk menampung kepentingan pihak tertentu, menampal kerugian akibat keculasan kerajaan BN dan Perikatan Nasional, apatah lagi bagi tujuan berkait kepentingan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Selasa lalu, Petronas mengumumkan dividen tambahan sebanyak RM25 bilion untuk disalurkan kepada kerajaan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bayaran dividen sebanyak RM50 bilion bagi 2022.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata dividen itu adalah tambahan kepada RM25 bilion yang telah diluluskan pada Februari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.