Kertas siasatan terhadap hakim Nazlan bersama SPRM, kata Azam

Kertas siasatan terhadap hakim Nazlan bersama SPRM, kata Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata ia adalah perkara biasa untuk kertas siasatan diserah dan dikembalikan semula antara SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kertas siasatan telah diserahkan semula kepada agensi itu oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
PUTRAJAYA:
Kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali berada bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki.

Azam dalam sidang media berkata ia adalah perkara biasa untuk kertas siasatan diserah dan dikembalikan semula antara SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ia selepas Peguam Negara Idrus Harun bulan lepas berkata, kertas siasatan itu tidak bersama jabatannya, mencetuskan persoalan mengenai perkembangan siasatan dalam kalangan orang awam.

“Mungkin kenyataan Peguam Negara itu ringkas. Mungkin dia maksudkan kertas siasatan bukan di tangannya. Tetapi ia sebenarnya telah diserahkan kepadanya dan diserahkan semula kepada kami untuk tindakan selanjutnya.

“Dari perspektif kami, kami berpendapat bahawa kami telah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada mereka. Biasalah kertas itu berulang-alik. Jadi sekarang kertas siasatan itu bersama pegawai saya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Soalan mengenai status kertas siasatan itu timbul selepas penulis blog Raja Petra Kamarudin menerbitkan dokumen yang didakwa disediakan SPRM, mendakwa suruhanjaya itu telah menyelesaikan siasatannya.

Susulan itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan kemudian menggesa SPRM mengesahkan kesahihan dokumen tersebut.

Idrus sebelum ini berkata beliau tidak dapat mengesahkan kesahihannya kerana kertas siasatan tidak ada bersamanya.

Nazlan, yang mengetuai perbicaraan kes SRC International membabitkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi, telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu.

Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib berhujah bahawa Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang serius ketika menghakimi perbicaraan itu.

Najib kalah dalam rayuan terakhir dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.