
R Uma Devi, pengurus cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, berkata Nik Faisal diberikan kuasa kawal selia status akaun Najib, mendapatkan penyata bank, termasuk dibenar meluluskan cek melebihi RM250,000.
Nik Faisal, yang kemudiannya menjadi ketua pegawai eksekutif SRC International, kini menjadi buruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Uma berkata, Najib membuka dua akaun – akaun simpanan berakhir dengan 481, dan akaun semasa berakhir dengan 694 – pada 13 Jan 2011. Kedua-dua akaun terbabit ditutup, pada 26 Ogos 2013.
Tiga akaun lagi – masing-masing berakhir 880, 906 dan 898 – telah dibuka, pada 31 Jul 2013 dan ditutup pada 9 Mac 2015.
Uma berkata selepas dua akaun awal ditutup, Najib mengarahkan bank berkenaan memindahkan baki RM150 juta ke dalam satu daripada tiga akaun baru itu, yang berakhir 880.
Katanya, sejumlah lain wang sebanyak RM12.4 juta daripada dua akaun pertama juga dipindahkan ke akaun 880 itu.
“Nik Faisal juga dilantik menguruskan ketiga-tiga akaun baru,” katanya.
Uma juga memberitahu mahkamah bahawa antara 24 Feb dan 14 Jun 2011, sejumlah RM60.5 juta didepositkan ke dalam akaun Najib berakhir 694.
Bagaimanapun, Uma tidak memperincikan sumber RM60.5 juta itu.
Pihak pendakwaan, dalam pernyataan pembukaan, berkata antara 24 Feb dan 14 Jun 2011, Najib menerima USD20 juta, yang pada mulanya bagi usaha sama antara 1MDB dengan PetroSaudi International Limited (PSI).
1MDB mengeluarkan USD1 bilion bagi tujuan usaha sama terbabit.
Najib berdepan perbicaraan membabitkan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram didakwa berkait dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Najib, kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang susulan sabitan berhubung kes rasuah SRC, bulan lalu, hadir di mahkamah, hari ini.
Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, bersambung.