Tak puas hati kerja cuci stor senjata punca askar dibelasah hingga koma

Tak puas hati kerja cuci stor senjata punca askar dibelasah hingga koma

Siasatan awal mendedahkan suspek bertindak ganas menampar serta menumbuk bahagian muka dan perut mangsa.

Semalam polis berkata suspek memukul, menumbuk dan menendang askar berusia 24 tahun itu di beberapa bahagian badan. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Tentera menubuhkan lembaga siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca dan faktor menyumbang kepada insiden seorang anggota tentera berpangkat koperal memukul beberapa askar sehingga seorang daripada mereka kritikal, Isnin lalu.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, siasatan awal mendedahkan suspek bertindak ganas menampar serta menumbuk bahagian muka dan perut mangsa hanya kerana tidak berpuas hati dengan kerja pembersihan stor senjata yang diarahkan kepada mereka.

Susulan laporan itu, anggota terbabit ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Tentera memandang serius kes itu dan tidak akan berkompromi dengan salah laku atau keganasan dalam organisasi.

“TDM memandang serius insiden ini dan satu lembaga siasatan sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian. Tindakan tegas yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak terlibat.

“Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi mangsa dan keluarga,” katanya.

Kejadian berlaku di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, Pahang, mengakibatkan Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi kini tidak sedarkan diri.

Semalam, Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, mengesahkan penahanan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berkaitan kes pukul yang berlaku kira-kira 8 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek memukul, menumbuk dan menendang askar berusia 24 tahun itu di beberapa bahagian badan. Mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Terdapat enam lagi mangsa berusia 19 hingga 22 tahun bersama dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.