Tentera darat longgar syarat rekrut anggota baharu

Tentera darat longgar syarat rekrut anggota baharu

Tahap usia dilonggarkan sehingga 30 tahun berbanding 27 tahun dan ketinggian dikurangkan kepada 157cm berbanding 162cm.

Panglima Tentera Darat Azhan Md Othman berkata kelonggaran itu menyaksikan peningkatan 10% hingga 20% perajurit muda bagi menjalani latihan dalam setiap pemilihan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tentera darat melonggarkan syarat pengambilan anggota baharu bagi menambah baik kualiti perkhidmatannya, termasuk dibenarkan berkaca mata dan tahap usia dilonggarkan kepada 30 tahun berbanding 27 tahun sebelum ini.

Panglima Tentera Darat, Azhan Md Othman, berkata kelonggaran itu menyaksikan peningkatan 10% hingga 20% perajurit muda bagi menjalani latihan dalam setiap pemilihan.

“Soal ketinggian pula, kita juga merendahkan tahap ketinggian kepada 157cm berbanding 162cm sebelum ini dan syarat indeks jisim tubuh (BMI) untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia secara umumnya ditetapkan antara 18 hingga 27.9, bergantung kepada cabang perkhidmatan dan jenis pengambilan.”

Tegasnya, kualiti anggota tidak dikurangkan, tetapi mengambil kira tahap kepakaran atau kebolehan anggota.

“Walaupun syarat kemasukan anggota perajurit muda ini dilonggarkan, tetapi ia mengambil kira penambahbaikan dari segi kebolehan bidang teknikal,” katanya menurut Berita Harian selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 205/25 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson.

“Tentera darat turut mementingkan elemen latihan yang menekankan pembinaan jati diri ketenteraan, ketahanan fizikal dan mental serta pemupukan nilai disiplin, keyakinan diri dan kompetensi sebagai anggota tentera profesional.”

Beliau berkata, seramai 1,236 perajurit muda berjaya menamatkan latihan dalam pengambilan siri ini.

“Seperti biasa latihan perajurit muda dirangka sebagai platform asas dalam membentuk anggota berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing sebelum diserap ke dalam kor atau rejimen mengikut kepakaran masing-masing.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.