
Saya mengikuti dengan penuh minat satu sesi wawancara antara seorang politisyen dengan dua orang pemuda di sebuah rancangan podkas. Beliau, politisyen veteran ini telah diperkenalkan sebagai seorang ‘pakar adat’ berkali-kali oleh salah seorang pemuda dalam rancangan bersifat sensasi itu. Saya difahamkan tontotan untuk siri tersebut telah mencapai lebih 100 ribu audien. Ini sangatlah malang.
Satu hal yang sangat mengejutkan adalah konon ‘pakar adat’ ini membawa satu naratif yang cuai dan sambil lewa mengenai Adat Perpatih, dan ia boleh mengakibatkan keadaan di Negeri Sembilan dalam hal krisis antara Undang Berempat dengan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertambah kusut.
Untuk keadilan, ketika saya muncul di sebuah lagi saluran podkas yang dikendalikan oleh pengulas politik terkenal iaitu Liyana Marzuki dengan judul ‘Krisis Adat: Kemelut dan Solusi’, saya tidak menonton siaran yang mengetengahkan ‘pakar adat’ ini terlebih dahulu. Saya sengaja berbuat begitu supaya argumen saya Insya-Allah lebih jujur, telus, dan sebenar beradat seraya beradab ketika tampil bersama-sama Liyana. Audien boleh menonton siri podkas yang saya sertai itu di pelbagai saluran media sosial.
Sefaham saya, naratif oleh ‘pakar adat’ ini adalah Undang Berempat di Luak Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Rembau adalah mereka seakan-akan setara, atau semacam pemerintah bersama dengan Yamtuan Besar Negeri Sembilan. Hal ini bukan sahaja salah, malahan satu bencana besar jika dibiar tanpa dibetulkan dan ditegur. Saya akan menyanggah hujah ‘pakar adat’ ini dengan sebuah buku kajian yang kata-kata aluannya itu ditulis sendiri oleh ‘pakar adat’ ini.

Buku berjudul ‘Perlembagaan Purbakala Luak Jelebu’ (2026) ini bukan sahaja dituliskan aluannya oleh ‘pakar adat’ ini, malah terdapat satu halaman dedikasi yang terlorek indah dengan dakwat warni-warna tertulis: “Persatuan Sejarah Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada… atas sumbangan dan keprihatinan beliau membantu penerbitan buku ini”.
Sukar untuk dihujahkan yang ‘pakar adat’ ini tidak membaca hasil kajian pengarang iaitu Mohd Arof Ishak. Tambahan pula ia mengenai Luak Jelebu yang menjadi minatnya, dan diterbitkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia. Melainkan kata aluan itu ditulis oleh bukan beliau, dan hal ini tidak patut sekali.
Pengkaji, yang buku beliau dibantu penerbitannya oleh ‘pakar adat’ ini membincangkan semacam perlembagaan purbakala berasaskan perbilangan dan kata adat di Jelebu. Di satu halaman, izinkan saya memetiknya, Arof menuliskan begini:
“Hak/Kuasa Pembesar. Hak dan Kuasa ada Kekangan: Dari segi kedudukan, Undang jelas merupakan pembesar utama di Luak Jelebu, walaupun cuma ditinggikan seranting. Nyatanya juga, Undang itu bukan raja dan bukan juga sultan. Dalam konteks adat di Luak Jelebu, sama juga dalam konteks Adat Perpatih, raja membawa maksud pemimpin berkuasa mutlak (autokrat), tanpa tolok banding akan kedudukannya, yakni tiada kekangan kepada kuasanya.
“Sultan juga membawa maksud yang serupa. Perbilangan adatnya nyata melahirkan kefahaman dan perbezaan ini: raja bertitah (yakni, dengan dekri/perintah), manakala Undang bersabda (memberikan nasihat dan persetujuan, hanya dengan apa-apa yang disepakati bersama-sama Balai Nan Panjang/Lembaga Nan Lapan). Di Luak Jelebu, Undang tidak berkuasa atau berkedudukan seperti raja atau sultan.”
Membaca perenggan ini kita tidak perlu lagi mentafsirkan apa-apa. Runtuhlah naratif konon Undang Berempat di Luak Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Rembau itu seakan-akan setara, atau semacam pemerintah bersama dengan Yamtuan Besar Negeri Sembilan. Tidaklah dapat disembunyikan lagi. Tetapi itulah naratif yang tidak betul ini telah tersebar dan ditonton ratus ribu orang.
Kenyataan Arof yang merupakan seorang sejarawan ini menepati kajian yang dilakukan oleh Prof Norhalim Ibrahim dalam buku ‘Negeri Yang Sembilan: Daerah kecil Pesaka Adat Warisan Kerajaan Berdaulat’ (1995) yang mana beliau menyatakan istilah Undang ini hanya digunakan selepas perjanjian antara Yamtuan Besar, Penghulu Luak-luak dan British pada bulan April tahun 1898. Tetapi yang lebih mustahak untuk diketengahkan adalah menurut Norhalim, Undang tidak berkuasa seperti yang digembar-gemburkan hari ini. Saya petik tulisan Norhalim untuk menguatkan sangkalan saya itu:
“Penghulu Rembau dan para Penghulu lain tidak lagi ‘setaraf dengan Sultan-sultan Negeri Melayu lain. Mereka ‘diwakili’ oleh Yang di-Pertuan Besar, dan justeru itu Yang di-Pertuan Besar pula yang setaraf dengan Sultan-sultan Melayu lain. Secara tidak langsung, ini bermakna juga Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah lebih tinggi darjatnya (bukan lagi hanya berdarjat ‘keadilan’) daripada para Penghulu/Undang.”
Jika Arof dari Persatuan Sejarah Malaysia mengkaji kedudukan Undang di Jelebu, Norhalim dari Universiti Putra Malaysia pula mengkaji duduk letak Undang di Rembau. Kedua-duanya saling melengkapkan, dan tiada minit mesyuarat dapat menyanggah penyelidikan bernas mereka ini. Hari ini saya dari Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia merujuk silang, menemukan dan menoktahkan kecoh-kecih yang ditiupkan. Moga-moga tercerahkan.
Akhir sekali, untuk orang Melayu di Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih, peranan Ibu Soko tersangat penting. Dalam kata-kata aluan yang dikarang untuk buku tersebut, politisyen veteran ini menulis begini:
Sekata anak buah bulat buapak
Sekata ibu-soko bulat suku
Sebulat buapak perkaso Lembaga
Sebulat Lembaga perkasa penghulu (Undang).
Sekadar ingatan, buku ini masih baru nyawanya, diterbitkan pada 2026. Berdasarkan perbilangan di atas, jelaslah kedudukan Ibu Soko itu tidaklah seenteng yang digambarkan. Saya sudah menuliskan di kolum saya minggu-minggu lalu. Antara lain yang berjudul ‘Undang Pecat Yamtuan, Ibu Soko Pecat Undang‘ dan yang berjudul ‘Krisis Negeri Sembilan Bermula di Sungai Ujong Pada Tahun 1993‘.
Malah tanpa Ibu Soko, yang dalam perbilangan disebut sebagai ‘tiang seri’ itu, jika tiada Bonda Kandung dapatlah dikatakan yang Melayu bersuku ini seumpama yatim. Tanpa Yamtuan bahkan kami bukan sahaja yatim, malah dapat dianggap piatu.
Saya juga ingin menasihati khalayak di luar sana supaya berhati-hati dengan podkas sensasi. Dalam dunia penuh agenda, berhati-hatilah melangkah. Ribu-ribu penonton bukanlah bermaksud jumhur itu benar. Tetaplah di fakta yang lurus, dan tidak boleh disangkal.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.