
Seperti yang dijangkakan, krisis kepimpinan Negeri Sembilan akhirnya dibawa ke mahkamah. Mata kini tertumpu kepada mantan Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Thahak. Turut bersama Mubarak adalah Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad; Muhammad Abdullah (Johol); Abd Rahim Yassin (Rembau); bersama-sama Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong, Badarudin Abdul Khalid.
Kelakuan mereka ini sangat ‘menarik’ memandangkan pemuafakatan untuk mantan Undang Luak Sungai Ujong iaitu Mubarak itu sendiri pernah menempuh kontroversi yang luar biasa. Ini namanya sejarah berulang. Beliau sendiri pernah dipertikaikan.
Kontroversi ini bermula pada 29 Dis 1993 (tarikh pemuafakatan Dewan Keadilan untuk memilih beliau) dan sejarah ini pernah direkodkan oleh AF Yassin; seorang pengarang, budayawan dan juga ahli Persatuan Sejarah cawangan Negeri Sembilan kira-kira 24 tahun lalu. Ahmad Fadzil menuliskan sebuah artikel bertajuk ‘Adat Disanggah Adat Disanjung Di Sungai Ujong’ dalam jurnal persatuan tersebut iaitu Warisan bilangan 25 terbitan tahun 2002.
Penerbitan jurnal ini, justeru artikel tersebut harus diingatkan telah mendapat restu daripada pimpinan Umno, menteri besar Negeri Sembilan ketika itu, Mohd Isa Abdul Samad. Dalam jurnal tersebut Isa menulis kata-kata aluan, yang mana beliau juga adalah Yang Dipertua Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan.
Berdasarkan dokumentasi sejarah garapan AF Yassin ini kita memahami pemuafakatan bekas Undang Sungai Ujong iaitu Mubarak pada tahun 1993 telah berdepan dengan masalah. Saya merumuskan masalah dan kontroversi ini kepada empat perkara.
Pertama, sebelum Mubarak dimuafakati, terdapat penunjukan lebih awal yang menamakan Samsir Sulaiman (pada 2 Julai 1987) dan Raja Abdul Rahim Raja Abdul Razak (pada 8 Mac 1986) sebagai pengganti Undang Datuk Kelana Putra Sungai Ujong kesembilan, Mohamad Kassim Nika Abdul Rashid. Ini memberi petunjuk bahawa pemuafakatan untuk melantik Mubarak itu dari awalnya belum segenap muafakat.
Kedua, oleh sebab pemuafakatan Mubarak itu tidak cukup dimuafakati di Dewan Keadilan, perestuan (dalam hal ini penabalan) Mubarak tidak ‘dikerjo’an’. Dalam adat tradisi di Sungai Ujong, upacara ‘dikerjo’an’ atau penabalan rasmi hendaklah dilakukan dalam tempoh tertentu. AF Yassin mencadangkan dalam artikelnya ia hendaklah disahkan dalam tempoh 100 hari. Selagi pemuafakatan ini tidak ‘dikerjo’an’, seorang Datuk Kelana Putra itu hanyalah bersifat ‘under probation’. Ketika upacara ‘dikerjo’an’ semua Datuk Lembaga dan Batin akan hadir memberi ketaatan. Implikasi pemuafakatan tanpa ‘dikerjo’an’ adalah ‘semua tugas rasmi Datuk Kelana Putra terbantut dan dianggap tidak sah di sisi adat’.
AF Yassin menegaskan kedudukan Mubarak sebagai Undang ketika itu ‘belum lagi efektif’ menurut adat. Bukan itu sahaja, pada tahun 2002 ketika artikel ‘Adat Disanggah Adat Disanjung Di Sungai Ujong’ ditulis, Mubarak telah disanggah. Saya kutip dari artikel tersebut; ‘Mubarak didakwa telah membuat 13 salah laku di sisi adat, sekali gus menyerlahkan kelemahannya sebagai ketua adat.’ Malah terdapat memorandum agar Dewan Keadilan memecat Mubarak, iaitu lebih dua dekad lalu.
Ketiga, di saat pemuafakatan Mubarak sebagai Undang Sungai Ujong itu, terdapat jawatan pembesar adat yang belum disahkan seperti penyandang Datuk Shahbandar sebagai tunggak Waris di Air (tiada pemuafakatan); ada penyandang masih dipertikaikan seperti Datuk Andika Mendulika sebagai Waris di Darat, Datuk Seri Maharaja Diraja dari Waris di Air dan Datuk Akhiruzzaman Rantau; manakala jawatan Datuk Penghulu Muda Labu Hilir pula belum
disempurnakan (tiada upacara penabalan), selain Datuk Penghulu Dagang Paroi yang belum dimuafakati (belum dilantik).
Kedudukan Telaga Undang juga ketika itu masih dipersoalkan. Telaga Undang adalah rumah atau tempat waris bersaka, atau tempat Ibu Soko di Carak Darat berkumpul berbincang mengenai masalah adat dan pusaka. Hendaklah difahami yang dipersoalkan adalah tempat, dan bukannya siapa Ibu Soko. Isunya adalah rumah Ibu Soko ini belum dirasmikan menurut adat istiadat di mana serambinya tidak lagi dipasang tabir langit-langit, sampaian, peterana lima tingkat dan belum ada kenduri 23 Ramadan.
Implikasinya, pemuafakatan Mubarak dianggap lemah kerana pembesar adat yang sepatutnya menunjang kedudukan beliau itu hampir semuanya dianggap bermasalah. Malang sekali, isu-isu ini tidak diselesaikan dengan baik ketika itu. Natijahnya kita terima hari ini.
Keempat, kontroversi berkait pemuafakatan Mubarak selaku bekas Undang Sungai Ujong itu, seperti disentuh dalam artikel oleh AF Yassin adalah semacam campur tangan Mubarak untuk melantik ramai pembesar adat tanpa alur dan patut (tanpa prosedur). Terdapat pelantikan Datuk Andika Mandulika dibuat secara undian bukan kebulatan (pemuafakatan waris). Pada 16 Mac 2000 pula Datuk Lela Bangsa dipecat hanya dengan telefon dan menurut AF Yassin ini
adalah satu lagi ‘salah laku melalui kapasitinya sebagai Datuk Kelana Putra’. Masalah merebak apabila beliau juga dipetik ‘menghalau anak-anak Waris di Air dari perkarangan Balai Undang pada Hari Raya Aidilfitri kedua’ pada tahun 1999. Dalam Adat Perpatih, majlis menghadap Datuk Kelana Putra wajib diadakan dan hendaklah dihadiri oleh dua carak waris negeri iaitu Waris di Air dan Waris di Darat. Tindakan ini mengakibatkan rasa terkilan para waris.
AF Yassin mengkritik insiden ini dalam artikel bersejarah beliau itu, saya kutip apa yang beliau sebutkan: ‘Demikianlah tindakan pecat-memecat dan lantik-melantik yang tiada berkesudahan, tanpa mengambil kira peraturan adat seperti yang termaktub dalam Terombo. Semua tindakan yang didakwa salah laku di sisi adat ini dikatakan telah merosakkan perjalanan adat di Sungai Ujong. Seorang pengkaji adat di Seremban mengakui sikap ‘jahil’ tentang sistem adat yang telah ditradisikan sebagai satu budaya murni orang Sungai Ujong, khasnya dan orang Negeri Sembilan umumnya menjadi ‘biang keladi’ kepada semua masalah yang timbul. Katanya, “Kita melihat budaya dan adat resam orang Melayu di Sungai Ujong sudah terhakis banyak kerana elemen
kepentingan diri dan politik. Pada hal, budaya dan tradisi adat kita itu amat berkesan dalam menyusun sistem kehidupan bermasyarakat. Kita tidak boleh lupa bahawa sistem dan budaya adat inilah wujudnya sistem pemerintahan di Negeri Sembilan hari ini. Cuba bayangkan kalau tidak ada sistem dan budaya yang diamalkan di Negeri Sembilan sejak lima ratus tahun dahulu mana mungkin institusi Yang di-Pertuan Negeri wujud hari ini.”
Tentu sahaja kita tidak dapat memastikan apa yang sebenarnya berlaku. Jika hari ini kita keliru lantaran terlalu banyak naratif dek banyaknya laporan media sosial, tentulah dua puluh tahun lebih lalu lebih sukar memandangkan rawi yang ada belum tentu tepat dan jelas. Namun demikian memadai disebutkan insiden ini menarik minat Persatuan Sejarah Negeri Sembilan yang mana Yang Dipertuanya adalah seorang menteri besar daripada Umno.
Krisis kepimpinan dan perlembagaan di Negeri Sembilan hari ini berlaku kerana ada pihak yang menangguk di air keruh. Dalam makalah AF Yassin tersebut; Norhalim Ibrahim, pengkaji adat Negeri Sembilan dan bekas pensyarah di Unuiversiti Putra Malaysia menyatakan adat telah diduakan kerana ‘hanya semata-mata ingin menjaga kepentingan pribadi dan menurut kehendak nafsu’.
Norhalim seperti dikutip oleh AF Yassin menyebutkan apabila berlaku perpecahan, perbilangan adat hendaklah segera dirujuk iaitu ‘Adat bertentu bilang beratur/Berjinjang naik bertangga turun/Tali pengikat di tangan Lembaga/Keris penyalang di tangan Undang/Pedang pemancung di tangan Raja/ Balai Undang adalah Balai keadilan/Yang akan menentukan hidup atau matinya pesaka adat ini’.
Artikel AF Yassin ini penting untuk dirujuk dalam perbalahan antara pembesar adat di Negeri Sembilan hari ini. Menurut beliau, apabila berlaku krisis, pihak yang mempunyai kuasa untuk menentukan tidak lain tidak bukan adalah Ibu Soko di Telaga Undang:
‘Fungsi Telaga Undang ini penting dalam menyelesaikan masalah adat. Jika masalah tidak dapat diselesaikan di Telaga Undang, barulah masalah itu dibawa ke Balai Undang untuk mendapatkan keadilan. Sebagai contoh masalah pemecatan penyandang pesaka Datuk Andika Mandulika pada 6 Okt, pemecatan Datuk Maharaja Lela pada 10 Mac dan pemecatan Buapak Perut Hilir hendaklah dibincangkan terlebih dahulu di Telaga Undang. Sebabnya kuasa pemecat di tangan Telaga Undang. Tetapi apabila pemecatan itu disahkan oleh Datuk Kelana Putra tanpa dibincangkan terlebih dahulu di Telaga Undang, maka Datuk Kelana Putra dianggap telah merampas kuasa Telaga Undang.’
Hari ini masalah timbul kerana kuasa Telaga Undang diperkecilkan. Adat Perpatih terkenal sebagai adat yang memberi kuasa kepada kaum wanita sebagai tonggak. Ia dikenal sebagai matrilineal. Dalam hal ini kuasa patriarki (kaum pembesar lelaki seperti Undang) sepatutnya mengalah kerana tumpas tewas di tangan kuasa matriarki (Ibu Soko).
Saya berpendapat tindakan Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-waris Klana Hulu berbulat memuafakati dan memilih Datuk Kelana Putra yang kesebelas iaitu Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong itu adalah sah.
Pemuafakatan dilakukan dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang selain disaksikan oleh waris dan pegawai kerajaan negeri. Pemuafakatan pula disahkan oleh Dato’ Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf kerajaan Negeri Sembilan. Tindakan Undang (hanya tiga orang) termasuk mantan Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak membawa perbalahan ke mahkamah menurut perspektif adat pada pandangan saya adalah sia-sia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.