Krisis NS ‘selesai’ susulan mesyuarat BN-PH

Krisis NS ‘selesai’ susulan mesyuarat BN-PH

Jurucakap kerajaan kata Jemaah Menteri dimaklumkan perkara itu 'selesai'.

Aminuddin Harun
Kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan berfungsi seperti biasa bawah pimpinan Aminuddin Harun.
PETALING JAYA:
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, mengumumkan krisis politik di Negeri Sembilan selesai susulan pertemuan antara kepimpinan tertinggi Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, semalam.

Fahmi berkata Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa perkara itu ‘selesai’ selepas perbincangan antara pemimpin dua gabungan itu.

Beliau mengumumkan kerajaan perpaduan Negeri Sembilan akan terus berfungsi seperti biasa bawah pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun.

Fahmi menambah sebarang isu yang timbul pada masa depan akan dirujuk ke kepimpinan pusat parti masing-masing, selaras perjanjian yang ditandatangani dalam rangka kerja kerajaan perpaduan.

Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus selepas semua 14 Adun Barisan Nasional menarik balik sokongan mereka kepada Aminuddin, atas alasan hilang kepercayaan.

Adun berkenaan berkata keputusan mereka berkait dengan krisis melibatkan empat Undang yang berusaha melucutkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Umno mengumumkan ia akan terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan politik.

Semalam, Presiden Zahid Hamidi mengesahkan Umno kekal sebagai sebahagian kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, dan tidak membincangkan penggantian Aminuddin sebagai menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.