RTM, Unifi TV penyiar rasmi Piala Dunia 2026

RTM, Unifi TV penyiar rasmi Piala Dunia 2026

Siaran disediakan percuma menerusi MyTV selain platform penstriman OTT seperti RTM Klik dan Unifi TV.

Kerajaan komited memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati Piala Dunia 2026 secara inklusif, sah dan menyeluruh. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV akan menjadi penyiar rasmi Piala Dunia Fifa 2026 di Malaysia.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, siaran kejohanan itu akan disediakan melalui pelbagai platform, termasuk siaran percuma (‘free-to-air’) menerusi MyTV, selain platform penstriman OTT melalui RTM Klik dan Unifi TV.

Menurutnya, Unifi TV akan menyiarkan semua perlawanan secara langsung, manakala RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda.

“Ini memberikan kepelbagaian pilihan tontonan kepada peminat bola sepak di Malaysia,” kata jurucakap kerajaan perpaduan itu pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

“Kerajaan Madani komited memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati Piala Dunia Fifa 2026 secara inklusif, sah dan menyeluruh.”

Fahmi berkata, kerajaan menjalin kerjasama dengan sektor swasta bagi memastikan penyiaran acara tersebut dapat dibuat dengan kualiti tinggi serta mempunyai capaian luas kepada penonton di seluruh negara.

Dalam usaha meningkatkan keterlibatan peminat, katanya, kerajaan turut merancang penganjuran acara tontonan umum di lokasi terpilih secara sederhana.

Menurutnya, beberapa penaja utama bagi menjayakan penyiaran kejohanan berkenaan sudah dikenal pasti dan sedang dimuktamadkan, sebelum diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau juga menegaskan semua pihak perlu mematuhi peraturan berkaitan anticetak rompak bagi kandungan Piala Dunia.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh terhadap sebarang pelanggaran, termasuk penyiaran atau pengedaran kandungan secara tidak sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.