Penternakan babi hanya dibenar di kawasan baharu jauh dari penempatan

Penternakan babi hanya dibenar di kawasan baharu jauh dari penempatan

Menteri komunikasi berkata keputusan dimaklumkan perdana menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri susulan kebimbangan terhadap isu pencemaran dan kesan kepada komuniti.

PIG FARM
Pelaksanaan projek penternakan babi pada masa depan juga perlu menggunakan teknologi tinggi bagi memastikan pengurusan sisa dapat dikawal dengan lebih berkesan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kerajaan menetapkan sebarang pembangunan kawasan penternakan babi hanya boleh dilaksanakan di lokasi baharu yang jauh dari penempatan penduduk serta sumber air kritikal, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, keputusan itu dimaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan kebimbangan terhadap isu pencemaran dan kesan kepada komuniti setempat.

“Kerajaan mengambil pendirian kawasan penternakan babi tidak lagi sesuai dibangunkan berhampiran kawasan perumahan atau sumber kritikal seperti sungai dan aliran air,” katanya dalam sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Pada 10 Feb lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan dijadikan tempat penternakan babi.

Fahmi berkata, pendekatan itu turut mengambil kira keperluan untuk mengelakkan risiko pencemaran yang boleh menjejaskan kesihatan awam serta bekalan air.

Katanya, pelaksanaan projek penternakan babi pada masa depan juga perlu menggunakan teknologi tinggi bagi memastikan pengurusan sisa dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Anwar sembah maklum perkara itu kepada Sultan Selangor bersama Menteri Besar Amirudin Shari khususnya melibatkan isu penternakan di negeri berkenaan.

Selain isu penternakan, Jemaah Menteri turut membincangkan status rumah ibadat yang tidak berdaftar di seluruh negara.

Fahmi berkata, perdana menteri mengarahkan Kementerian Perpaduan Negara menyelaras perbincangan lanjut bersama beberapa kementerian dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu itu.

Katanya, antara agensi terlibat termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai situasi bekalan air di beberapa negeri yang berada pada tahap kritikal, khususnya di kawasan empangan, dengan langkah mitigasi seperti pembenihan awan sedang dipertingkatkan.

“Operasi pembenihan awan akan dilaksanakan secara lebih giat oleh Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan penyelarasan serta peruntukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.