Zahid janji bentang Akta Mara baharu dalam 3 minggu

Zahid janji bentang Akta Mara baharu dalam 3 minggu

Walaupun diberi masa 3 bulan, persiapan rapi oleh pengurusan Mara membolehkan proses itu disegerakan, menurut timbalan perdana menteri.

Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Zahid Hamidi gesa libat urus dilaksanakan bersama Gen-Mara selepas Jemaah Menteri luluskan Akta Mara yang baharu pada peringkat dasar.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi memberi jaminan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu lagi.

Zahid berkata, walaupun dicabar oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membentangkan akta tersebut dalam tempoh tiga bulan, persiapan rapi oleh pengurusan Mara membolehkan proses itu disegerakan.

“Akta Mara telah siap sedia untuk dibentangkan. Ertinya, kita efisien. Ertinya, kita bukan generasi seperti sebelum merdeka. Kita anak pasca merdeka,” katanya dalam Perhimpunan Kami Gen-Mara: Unplugged Ansara di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Gen-Mara (Generasi Mara) merujuk kepada generasi baharu pelajar, graduan dan bakat di bawah naungan Mara yang dibentuk untuk menjadi modal insan berkualiti, berdaya saing dan berintegriti

Pada 3 Mei lepas, Anwar mengarahkan draf pindaan Akta Mara 1966 disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya, perkara itu tidak perlu mengambil masa lama kerana draf pindaan sudah diteliti pakar sejak enam hingga lapan bulan lalu.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, penggubalan akta baharu itu akan memberi penekanan kepada aspek tatakelola menyeluruh termasuk pengurusan, pelaburan, pelaksanaan ekosistem pendidikan serta pembangunan keusahawanan.

Selain itu, akta tersebut juga akan mengambil kira keperluan mendepani teknologi baharu selaras dengan perubahan landskap semasa.

Beliau menjelaskan, peranan Mara kini tidak lagi terhad kepada masyarakat luar bandar seperti ketika mula-mula ditubuhkan, memandangkan komposisi penduduk Malaysia sudah berubah.

Justeru, Zahid menggesa satu libat urus dilaksanakan bersama Gen-Mara selepas Jemaah Menteri memberikan kelulusan peringkat dasar.

“Selepas bentang, saya nak ada sesi libat urus dengan Gen-Mara di Dewan Merdeka (WTC) ini,” katanya.

“(Apabila) Jemaah Menteri luluskan Akta Mara dalam tempoh tiga minggu, saya bagi 60 hari, libatkan semua Gen-Mara, (kita) bincang (mengenai akta ini).” katanya.

Sebelum ini, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, pindaan itu akan menjadi perlindungan undang-undang bagi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera kekal terpelihara dan tidak berubah setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan negara atau organisasi.

Beliau berkata, pengukuhan akta itu juga penting bagi menutup kelompangan serta mengelakkan ketirisan dana, memandangkan Mara kini memikul mandat besar dengan jumlah aset bernilai RM23 bilion.

Tambahnya, beliau mahu Mara menjadi agensi yang mampu berdikari dan menjana dana sendiri menerusi pelaburan strategik, tanpa bergantung kepada peruntukan kerajaan menjelang usia 100 tahun penubuhannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.