
Katanya, pelaksanaan itu melibatkan penyelarasan menyeluruh antara kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan rantaian pengeluaran serta pengedaran berjalan lancar.
“Keputusan biodiesel ini mesti dikeluarkan melalui 19 loji mulai 1 Jun ini juga bagi membantu menurunkan harga diesel,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata pengeluaran biodiesel akan bermula daripada B15, meningkat kepada B20 dan seterusnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun mungkin meningkat hingga ke B50.
“Ini kita lakukan secara berperingkat bagi menentukan supaya harga minyak sawit mentah (CPO) tidak akan membebankan pengeluaran kepada biodiesel,” katanya.
Pada 19 April lalu, Zahid berkata sebanyak 19 loji biodiesel yang sedang beroperasi ketika ini mampu menghasilkan kira-kira 1.5 juta liter bahan api itu sebulan, sekali gus mampu menstabilkan harga diesel domestik.
Beliau berkata, kapasiti pengeluaran mencukupi untuk menampung keperluan tempatan dalam keadaan harga bahan api yang berdepan tekanan kenaikan di pasaran.
Sementara itu, Zahid berkata KKDW menjangkakan penjimatan sekurang-kurangnya RM250 juta dalam bajet kementerian sebagai langkah penjimatan negara.
Katanya, langkah itu selaras pekeliling Kementerian Kewangan yang mengarahkan semua kementerian mengoptimumkan perbelanjaan.
“Malah, sebelum arahan itu dikeluarkan, kita pun telah mengemukakan kepada MoF untuk kita mengurangkan program yang mempunyai kesan berbanding keutamaan seperti infrastruktur, bekalan air, elektrik dan juga keperluan untuk luar bandar.
“…dan untuk itu kita telah memutuskan sekurang-kurangnya sebanyak RM250 juta dapat dijimatkan dan perbelanjaan yang telah diperuntukkan kepada KKDW itu akan diserahkan semula kepada MoF,” katanya.