NGO lapor polis dakwa ketua Umno N Sembilan hina institusi diraja

NGO lapor polis dakwa ketua Umno N Sembilan hina institusi diraja

Megat D Shahriman Zaharudin mendakwa ucapan Jalaluddin Alias pada Konvensyen 80 Tahun Umno mengheret institusi diraja ke pentas politik.

Megat D Shahriman Zaharudin dan ahli Sekretariat 6526
Megat D Shahriman Zaharudin dan ahli Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi.
KUALA LUMPUR:
Sebuah NGO membuat laporan polis terhadap Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias atas dakwaan menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) berhubung isu semasa yang di negeri itu.

Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Megat D Shahriman Zaharudin menggesa pihak berkuasa menyiasat ucapan Jalaluddin pada Konvensyen 80 Tahun Umno, Sabtu lalu.

Beliau mendakwa ucapan itu mengheret institusi diraja ketika Jalaluddin mengulas krisis politik Negeri Sembilan.

Katanya, tindakan itu didakwa mencabul Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selain bertentangan prinsip raja berperlembagaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak berkuasa perlu menyiasat tindakan itu yang kami percaya menyentuh sensitiviti dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengikut lunas undang-undang.

“Di pentas politik, isu raja sepatutnya diasingkan. Sebagai individu berpengalaman luas, beliau tidak sepatutnya membawa perkara sensitif ke pentas politik,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.

Megat turut berkata Umno sepatutnya mengambil tanggungjawab dan menghalang mana-mana pemimpinnya daripada menyentuh institusi diraja dalam ucapan politik.

Sabtu lalu, Jalaluddin ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno menghuraikan kronologi krisis politik Negeri Sembilan bagi menjelaskan tindakan beliau bersama 13 Adun Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Jalaluddin dilaporkan berkata tindakan itu dibuat susulan kegagalan Aminuddin menguruskan krisis membabitkan institusi perlembagaan negeri sehingga menjadi perhatian umum.

Sementara itu, Jalaluddin ketika dihubungi menafikan dirinya cuba menghina intitusi raja dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

“Ucapan saya itu tidak ada perkara atau fakta yang mengaitkan saya menghina intitusi raja, saya sendiri sebagai Ahli Parlimen dan sebagai Adun tahu tentangnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.