
Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, Ahli Parlimen Pengerang itu berpendirian bahawa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sepatutnya campur tangan dalam kes rasuah Najib Razak dengan melantik individu pilihannya sebagai peguam negara.
Azalina berkata demikian ketika memberikan ucapan pada taklimat khas presiden Umno di ibu pejabat parti itu hujung bulan lalu.
“Beliau tidak pernah kata (untuk Ismail campur tangan) tetapi implikasi dan konteksnya (taklimat khas Umno) cukup jelas,” kata Fann dalam temu bual bersama FMT.
“Kalau saya salah dengar, jadi begitu juga dengan 2,000 orang yang hadir dalam taklimat itu, termasuk Ahli Parlimen lain yang mengkritiknya, dan media.”
Fann juga mempersoalkan mengapa Azalina meletak jawatan (sebagai penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia kepada perdana menteri) sejurus selepas itu.
Azalina, yang juga bekas menteri undang-undang berkata, sesiapa yang menjadi perdana menteri akan “melantik orang dia” untuk menjadi peguam negara.
Fann menuduh Azalina mengubah pendiriannya berhubung pemisahan peranan peguam negara sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan serta pendakwa raya.
Katanya, Bersih langsung tidak berganjak.
“Kami komited dengan prinsip dan pembaharuan kami, sebelum Azalina datang dan kami tidak akan berubah untuk sesiapa pun,” katanya.
Bulan lalu, Azalina berkata, kenyataan beliau tidak ada kaitan dengan pendiriannya mengenai pemisahan kuasa dan peguam negara serta pendakwa raya mestilah jawatan berasingan.
Katanya, beliau tidak berniat mencadangkan seorang peguam negara yang baru dilantik akan dimanipulasi untuk menggugurkan tuduhan jenayah terhadap ahli Umno atau membuat aturan agar mereka diampunkan daripada semua tuduhan.