Mengapa ada jurang besar dalam bajet untuk kaum, Guan Eng tanya Ismail

Mengapa ada jurang besar dalam bajet untuk kaum, Guan Eng tanya Ismail

Pengerusi DAP itu berkata peruntukan untuk Cina, India tidak sampai 3% daripada Bumiputera dan Orang Asli dalam Bajet 2022.

Bajet 2023 dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Okt.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mahu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan mengapa komuniti Cina dan India hanya menerima tidak sampai 3% daripada keseluruhan peruntukan bagi komuniti Bumiputera dan Orang Asli dalam Bajet 2022.

Ismail ketika berucap dalam satu festival Cina Ahad lalu, memberi jaminan komuniti Cina di bandar dan luar bandar tidak akan dipinggirkan dalam Bajet 2023.

Katanya, kerajaan akan memastikan bajet itu mengfokuskan pada kebajikan dan kehidupan rakyat itu secara keseluruhannya.

“Jaminan seperti itu mudah ditolak sebagai retorik kosong untuk pilihan raya umum akan datang.

“Dalam bajet pertama beliau sebagai perdana menteri tahun lalu, komuniti Cina dan India secara terang-terangan di diskriminasi dalam bentuk peruntukan,” kata Lim dalam kenyataan.

Dalam Bajet 2022, RM11.4 bilion diperuntukan untuk komuniti Bumiputera, RM274 juta untuk Orang Asli dan RM345 juta untuk Cina dan India.

“Sekiranya dimasukkan peruntukan Orang Asli dalam bahagian Bumiputera, RM345 juta untuk Cina dan India ini tidak sampai 3% daripada jumlah keseluruhan RM11.674 bilion untuk dua komuniti berkenaan.

“Tiada siapa yang mempersoalkan RM11.674 bilion kepada Bumiputera dan Orang Asli itu.

“Tetapi bolehkah Ismail menjelaskan mengapa komuniti India dan Cina hanya layak menerima RM345 juta iaitu kurang 3% daripada RM11.674 bilion yang diterima Bumiputera dan Orang Asli?” soalnya.

“Bagaimana Ismail dapat memastikan Bajet 2023 mengfokuskan kebajikan dan kehidupan rakyat secara keseluruhannya, apabila bajet itu sendiri berdasarkan bangsa bukannya keperluan,” katanya.

Tambah Lim, pakar ekonomi Melayu juga membangkitkan isu ketidaksamaan itu.

Muhammed Abdul Khalid yang juga bekas penasihat ekonomi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kurangnya keadilan dalam Bajet 2022 dengan merujuk jurang peruntukan antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

“Komuniti ini menerima tidak sampai 3% daripada yang diterima Bumiputera,” katanya dalam satu program bual bicara mengenai Bajet 2022 pada Nov lalu.

“Apa yang penting bagi saya, sebagai orang Islam adalah konsep keadilan. Dimana keadilan di sini?

“Benar ramai Cina yang kaya tetapi ada juga yang miskin. Adakah kita bertindak adil?” katanya.

Bajet 2023 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 7 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.