Bagaimana SGD600,000 boleh dimuatkan dalam sebuah sampul surat, kata hakim kes rasuah Zahid

Bagaimana SGD600,000 boleh dimuatkan dalam sebuah sampul surat, kata hakim kes rasuah Zahid

Hakim Mahkamah Tinggi Yazid Mustafa berkata ketiga-tiga saksi pendakwaan memberi keterangan bahawa wang itu, secara tunai, telah dimasukkan ke dalam sampul surat berwarna coklat untuk setiap penghantaran.

Hakim Mahkamah Tinggi Yazid Mustafa berkata beliau tidak dapat membayangkan saiz sampul surat digunakan untuk mengisi wang tunai SGD600,000, bersamaan kira-kira RM1.6 juta pada waktu itu. 
SHAH ALAM:
Hakim Mahkamah Tinggi di sini yang membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah tanpa memanggil pembelaannya hari ini mempersoalkan mengapa pendakwaan tidak mengemukakan sampel sampul yang didakwa digunakan menghantar wang kepada presiden Umno itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Yazid Mustafa berkata ketiga-tiga saksi pendakwaan memberi keterangan bahawa wang itu, secara tunai, telah dimasukkan ke dalam sampul surat berwarna coklat untuk setiap penghantaran.

Saksi berkenaan telah mendakwa bayaran bulanan telah dibuat yang pada mulanya berjumlah SGD200,000, kemudian naik kepada kepada SGD300,000 dan akhirnya SGD520,000.

Yazid juga menyatakan bahawa jika pembayaran tidak dibuat dalam mana-mana bulan tertentu, jumlah itu akan digandakan pada bulan berikutnya.

“Pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang sampel sampul surat. Tiada bukti menunjukkan saiz sampul surat digunakan,” kata Yazid dalam penghakiman setebal 64 muka surat yang dikeluarkan selepas perbicaraan.

Membandingkan fakta dalam perbicaraan membabitkan Rosmah Mansor dalam kes rasuah projek solar, hakim berkenaan menyatakan bahawa penghantaran wang tunai RM5 juta pada Disember 2016 dibahagikan kepada dua beg RM2.5 juta setiap satu manakala penghantaran kedua, RM1.5 juta dibuat dalam dua beg.

“Saya tidak boleh membayangkan saiz sampul digunakan untuk mengisi wang tunai SGD600,000, bersamaan kira-kira RM1.6 juta pada waktu itu,” katanya.

Pertuduhan terhadap Zahid termasuk dakwaan beliau menerima SGD600,000.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.