PKR bidas pemimpin MCA guna agama ‘beli hati’ penyokong Najib, Umno

PKR bidas pemimpin MCA guna agama ‘beli hati’ penyokong Najib, Umno

Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat berkata kenyataan MCA seolah-olah mempunyai persamaan dengan cara yang selama ini digunakan PAS.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat (kiri) berkata Naib Presiden MCA Ti Lian Ker ‘menggunakan’ agama untuk membeli hati penyokong tegar Najib Razak dan Umno.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR membidas MCA kerana menggunakan agama untuk mempertahankan Najib Razak terhadap tindak balas berhubung dakwaan keutamaan layanan diberikan terhadap bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat juga berkata, kenyataan MCA seolah-olah mempunyai persamaan dengan cara yang selama ini digunakan oleh PAS.

“Kita faham PRU semakin hampir, setiap parti politik akan cuba sedaya upaya memikat hati pengundi.

“Dalam kes ini, jelas MCA telah menyalahgunakan agama bagi menghalalkan korupsi demi ‘membeli hati’ penyokong tegar Najib dan Umno,” katanya dalam kenyataan.

Chua mengulas hantaran Twitter Naib Presiden MCA Ti Lian Ker yang mempersoalkan mengapa Najib tidak diberikan sebarang simpati, terutama dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Ti, yang juga timbalan menteri belia dan sukan semalam berkata, beliau tidak dapat memahami perasaan kebencian yang ada pada orang politik di negara ini.

“Manalah budaya maaf-maafan orang Melayu dan Islam?” soalnya.

Dua hari lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa Najib dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) pada Isnin untuk rawatan susulan.

Beliau menafikan dakwaan di media sosial bahawa Ahli Parlimen Pekan yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah dalam kes SRC International itu diberikan layanan istimewa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.