‘Patuh atau keluar’, pindaan DAP ‘tidak demokratik’, kata Ronnie Liu

‘Patuh atau keluar’, pindaan DAP ‘tidak demokratik’, kata Ronnie Liu

Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Ronnie Liu berkata DAP mungkin tidak lagi demokratik selepas pindaan yang membolehkan wakil rakyat tidak turut perintah dipecat.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Ronnie Liu berkata realiti pindaan perlembagaan DAP itu sama ada menurut perintah kepimpinan atau keluar parti.
PETALING JAYA:
Langkah DAP meminda perlembagaan yang membolehkan mana-mana wakil rakyatnya dipecat kerana tidak menurut perintah kepimpinan disifatkan sebagai tidak demokratik, kata seorang pemimpin parti itu sendiri.

Malah, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu, berkata DAP mungkin tidak lagi demokratik dengan pindaan tersebut, yang diluluskan dalam kongres khas parti dengan majoriti besar perwakilan.

“Patuhi perintah kepimpinan atau keluar. Itulah realiti politik sekarang,” katanya di Facebook.

“Ahli seperti saya akan serta-merta menjadi pihak yang terkilan.”

Mengambil dirinya sendiri sebagai contoh, Ronnie berkata beliau boleh “mati” sekiranya dulu DAP mempunyai fasal seperti ini, merujuk kepada beberapa tindakannya sebelum ini.

“Sekiranya dulu parti ada fasal seperti ini, beberapa isu yang saya bangkitkan boleh menyebabkan saya dipecat sebagai ahli, misalnya kritikan terhadap Dr Mahathir Mohamad (semasa menjadi perdana menteri Pakatan Harapan), Lynas, Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tangkapan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam, dan serahan kuasa kepada Anwar Ibrahim (presiden PKR).”

DAP semalam meluluskan pindaan perlembagaan parti bagi membolehkan mana-mana wakil rakyatnya yang tidak menurut perintah parti “dalam perkara-perkara utama” dipecat, dengan sokongan majoriti perwakilan pada kongres khas.

Pindaan itu menyusuli undang-undang anti-lompat parti yang menyebabkan Ahli Parlimen kehilangan kerusi jika melompat parti, kecuali wakil rakyat yang dipecat parti, parti yang diwakili dibubarkan, atau pendaftaran parti dibatalkan.

Mengulas lanjut, Ronnie berkata CEC berhak mengeluarkan perintah menyasarkan mana-mana wakil rakyat.

“Ironinya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sahaja yang boleh menyelamatkan parti daripada menjadi entiti yang tidak demokratik,” katanya, yang juga menganggotai CEC DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.