PAS kekal komited kepada PN, tegas Muhyiddin

PAS kekal komited kepada PN, tegas Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, tidak berbangkit isu PAS hendak meninggalkan gabungan berkenaan.

Muhyiddin Yassin bergambar dengan Abdul Hadi Awang dan pemimpin PN lain yang menghadiri pertemuan di kediaman bekas perdana menteri itu malam tadi. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berkata, PAS kekal komited kepada gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Nampak dalam pertemuan itu, PAS masih komited untuk terus bersama PN. Tak ada berbangkit isu dia nak keluar, tak ada bangkit langsung. Dalam pertemuan itu, dia ‘reaffirm’ akan bersama-sama meneruskan kedudukannya dalam gabungan PN,” katanya dalam sidang media.

Muhyiddin merujuk pertemuannya dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di kediamannya malam tadi. Turut hadir Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden, Radzi Jidin dan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Berdasarkan pertemuan semalam, Muhyiddin berkata, mereka bersetuju rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen PN dimuktamadkan segera dan program “Jelajah Prihatin” akan diadakan di seluruh negara tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin menolak bantahan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan terhadap tindakannya melabelkan Barisan Nasional sebagai “musuh utama” PN pada PRU15.

“Hubungan kita (Bersatu dan PAS) ni mantap, kukuh. Kenyataan yang dikeluarkan oleh individu, terpulanglah kepada mereka. Kemungkinan dia dicocok ke apa, wallahualam lah.”

Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengumumkan BN sebagai musuh utama PN pada PRU15, dengan parti komponennya perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Tetapi, Takiyuddin semalam berkata, parti itu tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak melabelkan kumpulan Melayu Islam lain sebagai “musuh utama” kerana ia tidak wajar dan janggal, lebih-lebih lagi kepada parti dalam kerajaan yang dipimpin bersama.

Pertemuan Hadi, Zahid

Muhyiddin berkata, tiada hasil atau keputusan dicapai dalam pertemuan Hadi dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

“Itu yang dia lapor kepada saya. Tiada benda yang kita sorok, tiada hasil dari pertemuan itu.”

Beliau memuji usaha Hadi untuk penyatuan ummah, tetapi dari segi realiti, katanya, Bersatu tidak mungkin bekerjasama dengan Umno selepas perhimpunan agung parti itu memutuskan untuk tidak menerima dan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

“Saya diberi bayangan dalam tempoh terdekat, PAS akan buat keputusan muktamad, untuk memutuskan hubungan dengan Umno.”

Awal bulan ini, Muktamar PAS ke-68 meluluskan 13 usul, antaranya penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam pada PRU15, termasuk meneruskan kerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional bagi memastikan situasi satu lawan satu.

Keadaan itu menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati beberapa pemimpin dalam PN, termasuk Bersatu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.