‘Pembangkang kalau yakin menang, seminit pun tak lengah PRU15’, sindir Zahid

‘Pembangkang kalau yakin menang, seminit pun tak lengah PRU15’, sindir Zahid

Presiden Umno berkata pembangkang menyerang partinya berhubung keputusan mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU) diadakan tahun ini kerana tidak yakin menang.

Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan Umno ‘akan mempersembahkan’ cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya PRU15 diadakan tahun ini tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.
PETALING JAYA:
Tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila pembangkang mengeluarkan pelbagai alasan supaya pilihan raya umum tidak diadakan segera, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas kritikan susulan keputusan Umno untuk mempersembahkan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya pilihan raya umum diadakan tahun ini, beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata pembangkang “sebenarnya tidak yakin mampu menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15)”.

“Kita percaya jika pembangkang yakin mereka dalam kedudukan boleh menang pasti tidak seminit pun mereka akan melengahkan PRU15.

“Justeru, mengapa lebih 32 juta rakyat Malaysia perlu membenarkan pembangkang termasuk Nga Kor Ming dan DAP yang menentukan masa depan kita?” katanya dalam kenyataan.

Zahid mempersoalkan sama ada ayat ‘akan mempersembahkan’ kepada Yang Di-Pertuan Agong boleh dianggap penderhakaan dan tidak selaras dengan undang-undang.

Beliau menegaskan, pihaknya bukan parti politik ‘cap ayam’ kerana setiap tindakannya sentiasa berpandu peraturan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Ketakutan, kegelisahan, kebimbangan, kerungsingan, keresahan sedang menyelubungi mereka untuk berdepan hari penentuan rakyat (pilihan raya),” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut memulangkan ‘paku buah keras’ kepada pembangkang yang didakwanya tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan apabila cuba menandatangani Statut Rom, meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), selain tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dalam isu Ordinan Darurat.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno membuat ketetapan untuk mempersembahkan cadangan kepada Agong supaya PRU15 diadakan, pada tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.