Ismail akan ‘diperkuda’ Umno pada PRU15, dakwa Wan Saiful

Ismail akan ‘diperkuda’ Umno pada PRU15, dakwa Wan Saiful

Ketua penerangan Bersatu menggesa rakyat menilai sikap Umno yang dipimpin 'kluster mahkamah' dalam menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah.

Wan Saiful Wan Jan berkata, pembubaran Parlimen hari ini membuktikan Umno terlalu jauh terpisah dengan kehendak dan keperluan rakyat.
PETALING JAYA:
Pembubaran Parlimen hari ini menjadikan Ismail Sabri Yaakob perdana menteri paling singkat memimpin negara dan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mendakwa beliau akan “diperkudakan” Umno dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Umno sudah menunjukkan rancangan mereka semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor lalu.

“Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Ismail membuktikan Umno terlalu jauh terpisah dengan kehendak dan keperluan rakyat,” katanya di Facebooknya.

Terdahulu, Ismail mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini dan PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan.

Wan Saiful mendakwa pembubaran Parlimen hari ini adalah permulaan kepada langkah Umno untuk mengangkat Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri.

Justeru, beliau menggesa rakyat menilai sikap Umno yang dipimpin “kluster mahkamah” dalam menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah.

“Umno juga tidak peduli nasib rakyat yang berdepan dengan risiko banjir dan bencana alam dan Umno belum berubah daripada budaya rasuah ‘ambil mana yang sempat’.

“Keutamaan Umno bukan rakyat, tetapi kuasa dan harta semata-mata,” katanya sambil menambah Perikatan Nasional (PN) satu-satunya gabungan yang terbukti bersih dan menjaga kebajikan rakyat.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat memilih PN yang komited menawarkan agenda prihatin rakyat, integriti dan kemakmuran bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.