Polis tahan suspek bunuh warga emas

Polis tahan suspek bunuh warga emas

Polis berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sebuah pondok tepi jalan pada Sabtu.

Suspek diburu selepas disyaki membunuh seorang wanita warga emas di Taman Paroi Jaya, Seremban pada 23 Sept lalu.
SEREMBAN:
Polis menahan seorang suspek lelaki pada Sabtu, dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita warga emas di Taman Paroi Jaya dekat sini, pada 23 Sept lepas.

Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof, berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sebuah pondok tepi jalan di Batu 4 Jalan Port Dickson-Teluk Kemang dekat sini, kira-kira 1 tengah hari.

Polis turut merampas barangan kemas milik mangsa yang ditemukan bersama suspek.

“Polis percaya dengan tertangkapnya lelaki ini, kes tersebut telah diselesaikan. Polis mengucapkan ribuan terima kasih atas maklumat orang ramai sehingga tertangkapnya suspek,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek akan direman hingga 14 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Media sebelum ini melaporkan mayat mangsa yang berusia 75 tahun itu ditemukan pada 8.25 malam dengan kesan kecederaan pada anggota badan di rumahnya di Jalan Kedidi 7, Taman Paroi Jaya dekat sini, 23 Sept lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.