Siasat kesahihan individu dakwa keturunan Rasulullah, gesa mufti P Pinang

Siasat kesahihan individu dakwa keturunan Rasulullah, gesa mufti P Pinang

Baru-baru ini, tular individu mendakwa dirinya keturunan ke-38 Nabi Muhammad, tiba di Malaysia bagi menyampaikan ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul.

Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, penipuan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan cara, termasuk dakwaan oleh individu tertentu kononnya berketurunan Nabi Muhammad. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pihak berkuasa perlu menyiasat individu yang mendakwa dirinya berketurunan Nabi Muhammad bagi memastikan kesahihan dakwaan itu, sama ada menerusi dokumen asli atau penyaksian pihak boleh dipercayai.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata memang ada keraguan dan penipuan boleh berlaku di mana-mana serta dalam pelbagai bentuk dan cara, termasuk dakwaan oleh individu tertentu konon dirinya berketurunan Nabi Muhammad.

“Saya harap pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama boleh menyiasat latar belakang individu yang mendakwa dirinya berketurunan Rasul yang mulia, malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta kedutaan Malaysia di negara individu berkenaan boleh diminta memberi bantuan dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, tular seorang individu yang mendakwa dirinya keturunan ke-38 Nabi Muhammad tiba di Malaysia bagi menyampaikan ceramah bersempena sambutan Maulidur Rasul.

Bagaimanapun, difahamkan program individu yang dikenali sebagai Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi gagal mendapat kelulusan beberapa jabatan agama negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan sehingga menyebabkan ia terpaksa dibatalkan.

Wan Salim berkata, umat Islam tidak boleh memberi reaksi tergesa-gesa dan taksub, sama ada menyokong atau menolak seseorang yang mendakwa berketurunan Rasulullah.

”Cuma kita perlu tahu dan faham bahawa di dalam pertimbangan Islam, keturunan yang mulia bukan kriteria bagi kemuliaan. Seorang hamba abdi yang beriman dan taat kepada Allah dan Rasul lebih mulia daripada seorang berketurunan Rasul, tetapi jahat dan munafik.”

Beliau berkata, pihaknya difahamkan penganjur program yang melibatkan Mawla di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum ini tidak memohon kebenaran pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang.

“Saya juga difahamkan mana-mana pihak yang ingin membawa masuk penceramah agama dari luar negara dikehendaki mendapat kebenaran Jakim dan polis terlebih dahulu.

“Sebenarnya, saya memang dijemput hadir di majlis tersebut. Pada mulanya saya jawab akan hadir, tetapi membatalkannya setelah mendapat maklumat yang meragukan mengenai figura warga Maghribi tersebut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.